SELEPAS berakhirnya Kejohanan Taekwondo Antara Kelab Taekwondo Malaysia (TM) 2024 semalam, skuad taekwondo negara kini fokus untuk mengekalkan momentum yang telah dicapai dalam persiapan menghadapi cabaran akan datang.
Pengarah Teknikal Taekwondo Malaysia, Dhanaraj Rassiah, menyatakan keyakinannya terhadap persiapan pasukan taekwondo negara menjelang Sukan Asia 2026.
Beliau menjelaskan bahawa kini terdapat 10 orang dalam program LAPIS dan Program Elit Kebangsaan, selain mengharapkan lebih banyak program seperti Program Pelapis Kebangsaan, Program Seremaja, dan Program Bakat, yang dilihat sebagai inisiatif menyeluruh bagi memperkukuhkan pasukan negara.
“Pada Sukan Asia nanti, mungkin akan ada antara 6 hingga 16 kategori taekwondo berdasarkan penyertaan, dan kami bertekad memastikan setiap atlet memenuhi standard yang diperlukan,” katanya.
Walaupun sedar akan cabaran untuk membawa pulang pingat setelah kejayaan terakhir pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Dhanaraj tetap yakin bahawa dengan program pembangunan yang sistematik, Malaysia berpotensi melahirkan atlet bertaraf dunia.
Selain itu, Dhanaraj turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi lima acara utama Taekwondo Asia pada tahun 2025, yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 25 hingga 31 Julai 2025, dengan penyertaan atlet dari 44 negara.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendukung usaha Taekwondo Malaysia dalam menganjurkan pelbagai acara dan saingan yang melibatkan golongan muda.
Menterinya, Hannah Yeoh turut meluahkan rasa gembira dengan penglibatan ibu bapa yang dilihat berusaha menyokong keinginan anak-anak seiring dengan kegigihan untuk datang menyaksikan perlawanan mereka.