RATUSAN jagoan seni mempertahankan diri berkumpul di Shah Alam pada Sabtu sempena Kejohanan Seni Bela Diri Taekwondo Antara Sekolah-Sekolah & Piala YB Azli Yusof (Ahli Parlimen Shah Alam) peringkat kebangsaan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia (PSBDTM), Master S.Edwin, kejohanan merebut Piala YB Azli Yusof melibatkan pelajar sekolah dari usia enam hingga ke atas 18 tahun.

“Taekwondo bukan sekadar seni tempur tetapi wadah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Penyertaan murid sekolah ini juga dapat menyumbang markah tambahan Kokurikulum dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK).

“Bagi memberi prestij kita mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam untuk menaja piala tersebut.

“Ia juga dapat menjalin dan mengukuhkan hubungan antara penggiat seni mempertahankan diri taekwondo serta perpaduan antara kaum,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Beliau berkata, para pelajar kini berpeluang untuk menyertai kejohanan yang bertaraf kebangsaan, sekali gus menimbulkan rasa gah dalam kalangan peminat seni bela diri tersebut.

Kejohanan ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia , Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof ; Dun Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron dan Ahli Majlis Zon Majlis Perwakilan Penduduk 3 Majlis Bandaraya Shah Alam.