PASUKAN berpengalaman negara, CKJ Racing Team menghargai keprihatinan pelbagai pihak mengenai perkembangan semasa pelumba Izzat Zaidi Salehan yang terlibat dengan insiden ketika sesi Superpole di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix Pusingan ke-8 pada 7 Oktober lepas.

Pasukan CKJ mengesahkan bahawa Izzat Zaidi telah selamat menjalani pembedahan pada petang Rabu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dengan bantuan alat pernafasan.

“Sehingga hari ini (12 Oktober 2023), terdapat peningkatan secara beransur-ansur berdasarkan bacaan kadar oksigen dan denyutan jantung. Tahap oksigen beliau kini telah kembali ke paras normal.

“Beliau kini masih dalam proses pemantauan rapi. Difahamkan proses pemulihan ini akan mengambil masa yang panjang bergantung kepada respon anggota badan beliau semasa proses ini,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Pasukan CKJ turu terhutang budi dengan tindakan pantas unit perubatan Cub Prix serta pihak Hospital Sultanah Aminah dalam menangani insiden tersebut.

Katanya lagi, pihak promoter Cub Prix dan wakil dari pasukan lain juga sentiasa berhubung secara langsung dengan pasukan dan menghantar wakil untuk bersama kami di hospital bagi sebarang urusan berkaitan.

Dalam pada itu, pasukan CKJ menyerahkan kepada pihak berwajib yang sedang menyiasat secara terperinci tentang insiden ini.

“CKJ Racing Team mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pihak termasuk promoter (Safe Aim Mutual Sdn Bhd), penaja-penaja pasukan kami dan seluruh warga Cub Prix serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa bersama kami sepanjang kami mengharungi situasi sukar ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Cub Prix : Pelumba Izzat Zaidi kritikal selepas kemalangan

“Terima kasih juga buat semua yang tidak putus mendoakan kesembuhan beliau,” katanya lagi.

Laporan Flash Sukan sebelum ini mendedahkan Izzat terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah dan disahkan mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan kecederaan paru-paru.