TIADA pilihan buat Ng Tze Yong, kerana sebagai pemain bukan pilihan dia akan berdepan cabaran pemain yang hebat dalam laluan di Kejohanan Dunia kira-kira 20 hari lagi.
Begitupun, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, apa sahaja boleh berlaku pada pusingan pertama Kejohanan Dunia itu selepas Tze Yong diundi berdepan Zhao Jun Peng dari China.
Katanya, jika Tze Yong mempamerkan corak permainan sebenarnya, apa sahaja boleh berlaku apa lagi kedua-dua pemain bakal membuat perhitungan kali pertama.
“Apabila sudah memasuki kejohanan besar seperti ini, tiada pilihan buatnya. Dia masih belum sampai ke tahap pemain yang ada status pilihan. Kita harus menerima apa sahaja keputusan undian,” kata Hendrawan.
Tambahnya, penting buat anak didiknya terus mengekalkan semangat melawan kerana pemain berusia 23 tahun itu sudah mempunyai standard.
“Kalau dia menang (pusingan pertama), di pusingan kedua dia bakal berdepan Anders Antonsen. Kedua-dua pemain ini, Tze Yong belum pernah jumpa sebelum ini, agak menarik untuk dilihat.
“Dari segi persiapan semuanya berjalan lancar, saya harap dia cuba yang terbaik di sana dengan fokus satu demi satu terlebih dahulu. Bermula minggu depan kita akan menganalisa permainan kedua-dua lawan itu terlebih dahulu,” katanya.
Ditanya mengenai pertembungan antara bekas anak muridnya, Lee Zii Jia dengan Tze Yong di suku akhir Terbuka Australia minggu lalu, Hendrawan mengakui jurang kedua-dua pemain sudah semakin dekat.
Kejohanan Badminton Dunia berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos di Copenhagen, Denmark, menyaksikan Zii Jia bakal memulakan saingan pusingan pertama menentang pemain nombor lima dunia, Jonatan Christie dari Indonesia.