TIDAK ada yang memeranjatkan melihat senarai perlawanan persahabatan antarabangsa yang diumumkan Johor Darul Ta’zim sempena cuti rehat kalendar Fifa bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan.
JDT bakal bertemu kelab Thailand, Port FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 September 2024 sebelum dijemput ke seberang tambak untuk bertemu pasukan kebangsaan Singapura pada 7 September 2024.
Jika melihat kepada apa yang terjadi kepada skuad kebangsaan Singapura, timbul rasa kasihan kerana mereka dilihat tidak mampu menarik perhatian lawan yang sama ranking untuk mengisi dua slot perlawanan antarabangsa Fifa.
Tetapi dengan adanya pasukan jiran yang bertaraf skuad kebangsaan dan antarabangsa, Singapura memanfaatkan peluang itu untuk menguji JDT yang bakal memberikan ujian besar buat mereka.
JDT akan menurunkan barisan pemain terbaik meskipun tanpa pemain kebangsaan Malaysia yang beraksi di Pestabola Merdeka, namun kehadiran beberapa pemain import baharu serta barisan pemain yang lain, sudah cukup memberikan kekuatan maksimum buat Harimau Selatan.
Perkara yang sama juga bakal digunakan oleh Port FC yang akan bersaing di Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 dan peluang bertemu JDT yang bertaraf Liga Juara-Juara AFC Elite sudah tentu akan memberikan pengalaman yang baik buat kelab Thailand itu.
Penyokong JDT paling bertuah kerana diberikan kemasukan percuma ke Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi bertemu Port FC namun penyokong The Lions kecewa kerana aksi di Singapura berlangsung secara tertutup.
Nilai komersil dan tahap antarabangsa JDT sebagai kelab di tangga kelapan Asia ketika ini sememangnya menjadi daya tarikan buat semua pasukan serantau termasuk pasukan kebangsaan untuk dijadikan medan ujian.
Harimau Selatan juga dapat menguji pasukan dan memastikan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik menjelang sambungan aksi Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC Elite musim 2024-25.
Atas faktor inilah, pemain JDT kekal cergas dan terus menjadi pasukan terbaik di Malaysia dan juga Asia Tenggara yang menjadi contoh terbaik buat semua pasukan serantau.