MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif yang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Emas pertama Malaysia daripada Nur Shazrin Mohamad Latif, sukan pelayaran ILCA 6. Tahniah dan terima kasih Shazrin!

“Secara merit layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” ciap @hannahyeoh di platform X hari ini.

Shazrin dinobat sebagai pemenang pingat emas selepas perlumbaan terakhir ILCA 6 terpaksa dibatalkan, kerana ketiadaan angin.

Lima tahun lepas di Palembang-Jakarta, Shazrin meraih gangsa dalam acara laser radial, tewas kepada atlet Jepun, Manami Doi dan perak diraih Zhang Dongshuang dari China.

Berakhirnya­ aksi terakhir hari ini, skuad pelayaran negara menghadiahkan satu emas dan dua gangsa yang disumbangkan oleh Asnawi Iqbal Adam dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen.