KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyifatkan kehendak pemain yang mahu berjuang untuk mendapatkan kemenangan adalah faktor utama kejayaan Malaysia menang ke atas Chinese Taipei 1-0 dalam aksi Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di laman lawan.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tidak mahu mengambil kredit atas pertukaran taktikal dilakukan yang menyaksikan Darren Lok menjaringkan gol kemenangan selepas dimasukkan sekaligus menamatkan badi tidak pernah menang di Taipei sebelum ini.

“Perasaan saya sangat gembira kerana sememangnya kita layak untuk menang. Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia kerana mereka seharusnya bangga dengan Harimau Malaya.

“Kami sudah jangkakan perlawanan yang sukar kerana pasukan lawan mempunyai semangat melawan tetapi semangat kami lebih dari lawan dan atas sebab itu kami berjaya atasi halangan yang sukar ini dan menghampiri pusingan seterusnya dan buatkan saya bangga dan hargai usaha para pemain.

“Kehendak pemain untuk menang adalah punca utama kemenangan ini dan bukannya pertukaran yang saya lakukan. Saya dapat lihat sejak dari babak pertama mereka tunjukkan kehendak itu tetapi kurang bernasib baik kerana tidak berjaya menjaringkan gol lebih awal,” katanya menjawab soalan FLASH SUKAN dalam sidang media selepas perlawanan.

KPG juga tidak mahu mengeluh tentang padang yang dalam keadaan kurang baik tetapi dia mahu para pemain sentiasa cepat mengadaptasi keadaan kerana padanya pasukan lawan yang menjadikan perlawanan itu sukar.

Dia juga gembira dengan enam mata maksimum dari dua perlawanan sekaligus separuh jalan menuju sasaran 12 mata untuk menjadi dua pasukan teratas kumpulan untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 20026.

“Kami tidak boleh mengadu tentang padang kerana kedua-dua pasukan bermain di padang yang sama. Perkara ini sering terjadi di pelbagai negara dan ini adalah sesuatu yang kami perlu belajar tetapi permainan ini menjadi sukar bukan kerana padang tetapi pemain lawan yang bermain baik.

“Kita akan selamat jika mendapat 12 mata dan kini sudah mendapat enam mata. Perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan kami perlu lakukan persiapan yang rapi. Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taipei dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” jelasnya.

Malaysia kini selesa selepas dua kemenangan dan akan mula memberikan fokus kepada persiapan menjelang Piala Asia di Doha pada Januari sebelum menghadapi dua lagi perlawanan kelayakan menentang Oman pada Mac 2024 nanti.