Oleh: MOHD FARIQ
NAMPAK gaya Liga Malaysia musim 2023 meriah sakan.
Masakan tidak, belum lagi sepak mula kalendar liga domestik yang bakal membuka tirai Piala Sumbangsih menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Malaysian Football League (MFL) telah pun mempamerkan barisan penaja-penaja baharu yang bakal bersama mereka pada tahun ini.
Dari kaca mata penulis, melihat kedatangan lebih 10 penaja-penaja di Liga Malaysia telah membuktikan sesuatu iaitu kejohanan domestik mula mendapat perhatian yang serius baik syarikat korporat mahupun bukan korporat.
Dengan beberapa nama besar penaja antaranya seperti Bank Al Rajhi dan Aeon Big, penulis percaya MFL telah melakarkan satu rekod baharu buat mereka tersendiri apabila tahun 2023 telah menjadi saksi menyaksikan Liga Malaysia muncul banyak menerima tajaan pada musim ini.
Syabas diucapkan kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam dan tenaga kerja seluruh staf pengelola liga itu yang menjadi peranan penting dalam memastikan Liga Malaysia yang menampilkan format baharu pada musim ini, berdiri kekal gagah dan menarik untuk disajikan khas kepada penyokong-penyokong tercinta.
Secara tidak langsung, kerjasama ini bukan sahaja mencipta dimensi baharu di antara MFL dan penaja sebaliknya pendapatan kelab-kelab juga dapat dijana sekali gus setiap pihak yang berada di dalam industri bola sepak akan merasai situasi menang-menang.
Bagaimanapun, penulis berharap kejayaan-kejayaan menambah nilai komersial Liga Malaysia juga turut seiring dengan mutu perlawanan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Bukan apa, Liga Malaysia sebelum ini lebih ‘terkenal’ cerita di luar berbanding di atas padang.
Cukup-cukuplah isu mutu pengadilan, isu tidak bayar gaji pemain dan pegawai, isu penyokong bergaduh sesama sendiri dan apa-apa sahaja isu yang memberikan impak buruk kepada liga kita.
Apa yang berlaku, biarkan ia berlalu dan jadikan ia sebagai satu pengajaran. Ini kerana penulis percaya dalam setiap perubahan sudah pasti ada masanya dan kita sebagai penyokong harus kekal konsisten turun stadium, membeli produk asli daripada kelab dan sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.
Jadi, tanggungjawab memelihara imej Liga Malaysia harus dipikul oleh semua pihak kerana bola sepak juga antara salah satu agenda nasional negara.
Sekarang kita semua bakal menyaksikan seramai 14 pasukan bakal berentap bagi merebut kejuaraan yang ditawarkan musim 2023 yang akan membuka tirainya pada Jumaat (24 Februari 2023).
Apa yang pasti, sebaik sentuhan Midas pun sudah ada membuatkan penulis sendiri sudah tidak sabar-sabar mahu turun menyaksikan Liga Malaysia.
Kalau kita sendiri tidak mahu sokong bola sepak tempatan, siapa lagi kita harapkan? Tepuk dada tanyalah selera masing-masing.
Demi lencana di dada!