PASUKAN Bawah 22 Tahun Kebangsaan berjaya muncul juara Kejohanan Piala Merlion 2023 selepas menewaskan Hong Kong 2-1 pada aksi final sekaligus muncul juara buat pertama kali sejak format kejohanan ditukar kepada Bawah 23 tahun pada 2019.

Anak-anak buah E. Elavarasan yang masih segar dengan kemenangan keatas Kemboja untuk layak ke final mempamerkan aksi dominan apabila menekan Hong Kong sejak dari wisel permulaan.

Hong Kong bagaimanapun kental bertahan dengan menggunakan bek berlima sekaligus menyukarkan barisan penyerang negara untuk menembusi dan menjaringkan gol terutama pada babak pertama.

 

Elavarasan melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua setelah terikat 0-0 pada babak pertama dan Malaysia terus mengasak ke kubu Hong Kong namun masih gagal untuk menjaringkan gol.

Gerakan cantik dari tengah padang oleh kapten pasukan, Azam Azmi Murad berjaya menemui Haqimi Azim yang kemudiannya melorongkan bola dengan cantik untuk disudahkan oleh Najmudin Akmal pada minit ke-74.

Berselang lima minit, skuad negara menggandakan kelebihan apabila Safwan Mazlan merembat dari jarak jauh dan berjaya menemui jaring Hong Kong untuk gol kedua dan dilihat sudah memberikan kemenangan kepada Malaysia.

Namun tidak sampai seminit, Hong Kong berjaya mendapat talian hayat apabila Rahadiazli Rahalim sekali lagi melakukan kesilapan apabila gagal menyepak kemas bola yang membenarkan Lau Ka Kiu untuk mudah menolak masuk.

Hong Kong terus mengasak pada akhir perlawanan namun para pemain negara berjaya tampil dengan lebih tenang dan akhirnya keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan untuk memberikan kejuaraan kepada Malaysia.

Kemenangan ini pastinya menjadi tonik terbaik buat Malaysia sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Sea di Kemboja pada Mei dan pastinya Elavarasan sudah mempunyai bayangan kesebelasan terbaik untuk diturunkan.