LEGA kedua-dua majlis selesai, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis mahu segera fokus kepada persediaan ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.
Fadhil berkata, dia tidak mengambil cuti panjang, sebaliknya hanya cuti rehat latihan di hujung minggu sahaja untuk memastikan majlis di pihak pengantin perempuan (minggu lalu) dan di pihaknya minggu ini, di Kampung Bukit Kerayong, Kapar, disempurnakan dengan baik.
“Kami bernikah pada 4 Februari lalu, Alhamdulillah selesai sudah majlis di kedua-dua pihak.
“Sejak bertunang tahun lalu, kami memang merancang untuk nikah dahulu kemudian mencari tarikh bersesuaian untuk adakan majlis dan saya rasa inilah tarikhnya yang sesuai.
“Saya sendiri tidak mahu ambil cuti panjang kerana saya mahu fokus kepada persiapan untuk beraksi di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia,” kata Fadhil, yang mahu fokus kepada pingat pecut berpasukan di Sukan Asia.
Kejohanan Dunia Berbasikal Trek akan berlangsung di Glasgow, Scotland pada 3 hingga 13 Ogos depan, manakal Sukan Asia Hangzhou, China pula akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober.
Mengulas mengenai pasangannya Nur Atiqah Khairulanuar, 26, Fadhil mengakui dia memberanikan diri untuk menegur gadis berasal dari Pulau Pinang itu menerusi aplikasi media sosial, Instagram.
“Mula-mula kami berkawan, saling mengenal hati budi… walaupun dia tidak kenal siapa saya, tidak tahupun saya ni atlet berbasikal kebangsaan (ketawa).
“Dia ada hadir ke Astro ketika saya menjadi tetamu tapi dia tak kenal siapa saya waktu itu,” kata Fadhil, 26.
Pada majlis menyambut menantu di pihak pengantin lelaki, iaitu di Kampung Bukit Kerayong, Kapar hari ini, berlangsung meriah dengan kehadiran sanak saudara dan sahabat handai, tidak terkecuali rakan sepelatih Fadhil iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus selain barisan kejurulatihan.
Sementara itu, ditanya mengenai situasi sebagai seorang isteri yang terpaksa berjauhan daripada suami, Atiqah berkata, dia tidak kekok dengan situasi itu keranasebelum mengikat perhubungan rasmi, dia mengenali Fadhil seorang yang amat mementingkan kerjayanya.
“Cuma saya kekok ketika berada di Veledrom Nasional Nilai (ACC 2023) apabila Fadhil datang kepada saya meraikan kemenangan… itu pengalaman pertama saya sebagai isteri kepada atlet,” kata atiqah tersipu-sipu.
Selepas kira-kira empat bulan bergelar isteri, Atiqah mengakui hanya menjadi isteri part time apabila hanya bertemu dengan Fadhil di hujung minggu.
“Fadhil seorang suami yang penyayang, walaupun kerier berbasikalnya tu penting sangat buat dia… tapi dia tak lupakan tanggungjawab kepada keluarga, sebab tu saya terpikat, dia family man,” akur Atiqah.
Malah Atiqah amat memahami kekangan masa yang ada pada Fadhil, memaksa pasangan pengantin baharu itu untuk tidak memikirkan soal ‘honeymoon’, kerana percaya akan tiba masa yang sesuai untuk mereka berbulan madu suatu hari nanti.