Komentar oleh: MOHD FARIQ
SYABAS kepada pucuk pimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas jalinan kerjasama dengan Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata), syarikat gergasi berpangkalan di Sarawak.
Tajaan berjumlah RM5 juta selama tiga tahun bermula 2023 adalah satu kejayaan buat KOM pimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagi sebuah persatuan sukan yang sentiasa menjadi perhatian umum, penajaan Cahya Mata adalah suntikan material dan moral yang ditagih oleh KOM selama ini.
Majlis menandatangani perjanjian di antara Cahya Mata dan KOM cukup signifikan, dengan syarikat gergasi Sarawak itu diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib, mempertontonkan kesediaan KOM meniup angin baharu dari segi tadbir urus dan kerjasama strategik bersama pemegang taruh.
Sulaiman yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan di Sarawak memang dikenali sebagai tokoh yang meminati sukan.
Olahraga, sebagaimana sukan lain, banyak bergantung kepada tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).
Suntikan dana Cahya Mata, pemain industri yang terbabit dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi, pembangunan hartanah, sektor pembinaan dan pembuatan, menunjukkan KOM bersungguh-sungguh membangunkan sukan itu.
Hadirnya juga tepat pada waktu di saat komuniti olahraga teruja meraikan kejayaan mengutip satu pingat perak dan dua pingat gangsa di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou baru-baru ini.
Apakah cara terbaik untuk KOM membelanjakan duit tajaan Cahya Mata?
Untuk mengharapkan KOM mengubah struktur sedia ada adalah keterlaluan, tetapi mereka tidak dapat lari daripada hakikat kos sara hidup yang kian meningkat.
Naikkanlah elaun latihan bagi atlet dan jurulatih yang berlatih di luar negara atau dalam negara. Andai atlet yang berada dalam program elit menerima elaun RM500 setiap bulan, KOM boleh menggandakan amaun mengikut prestasi.
Struktur sedia ada bertunjangkan sekolah-sekolah, menerusi pemilihan atlet ke pusat latihan daerah di sekolah sukan negeri dan sekolah sukan Malaysia,
Maka penting untuk KOM menambah kejohanan bermutu tinggi, kompetitif dan bercorak antarabangsa, seperti yang kerap dilakukan pada 1990-an ketika KOM diterajui Tan Sri Khalid Yunus.
Disebabkan kejohanan olahraga anjuran pemegang taruh terbesar seperti Kejohanan Antara Bank dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) tidak semeriah dahulu, KOM harus memberi tumpuan menjenamakan sirkit olahraga tempatan yang satu ketika diwarnai Terbuka Kedah, Perlis, Pahang, Perak, Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan dan kemuncaknya Grand Prix di Stadium Nasional.
Perhebatkan pengkomersialan KOM menerusi laman web, media sosial dan ikuti trend terkini dalam olahraga sebagaimana dilakukan oleh badan induk dunia World Athletics.
Grand Prix bukan sahaja menawarkan kejohanan kompetitif buat atlet secara berkala dan konsisten, bahkan mendedahkan pegawai teknikal dan sistem sokongan pengalaman berharga dalam menjayakan pertandingan olahraga.
Biarkan Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy menimba ilmu di Amerika Syarikat tetapi gandakan usaha untuk melahirkan lebih ramai atlet untuk acara trek seperti jarak sederhana 800m, 1,500m dan jarak jauh 5,000m serta 10,000m tanpa mengorbankan tumpuan kepada acara padang.
Shahidan dan pucuk pimpinan kena rangka pelan induk jangka masa panjang bagi memastikan perancangan strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi mampu menyemarakkan olahraga tempatan.
Akhir kalam, sumbangan Cahya Mata tidak akan jadi sia-sia.