IMPIAN jaguh berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom untuk membawa ibu bapanya menunaikan ibadah umrah menjadi realiti apabila dia menerima tajaan berupa pakej umrah oleh sebuah syarikat pelancongan sejurus tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.

Dia yang masih terkejut dengan tajaan itu mengakui ini adalah rezeki buat dirinya dan peluang terbaik buatnya untuk menenangkan fikiran serta mengubati kekecewaan yang dialaminya ketika Sukan Olimpik Paris 2024.

Shah Firdaus sebelum ini sebak kerana tidak dapat menunaikan janji untuk mengerjakan umrah bersama ibunya selepas tidak berjaya meraih emas dalam acara keirin selepas terjatuh ketika menuju garisan penamat.

Shah Firdaus (kiri) tiba di KLIA bersama-sama skuad basikal trek negara

“Saya akan bincang dengan John Beasley sebab selepas ini saya ada Kejohanan Dunia dan yang lain dan kita tengok nanti. Ini kerana Tanah Suci adalah tempat terbaik untuk saya bertenang semula.

“Dalam beberapa hari ini, saya tak tengok media sosial. Semua video perlumbaan yang orang tag saya, saya swipe banyak fasal perlumbaan. Saya tak nak ingat dan cuba melangkah ke hadapan, jadi saya rasa itu tempat terbaik untuk saya.

“Hasrat saya nak pergi tunaikan umrah kini tercapai juga. Mungkin ini hikmah dalam setiap yang berlaku ada sebabnya. Jadi ini antara sebabnya dan saya akan pergi tahun ini juga,” katanya.

Rempuhan kuat buatkan Shah Firdaus terjatuh ketika menuju garisan penamat acara keirin

Jadual kejohanan yang padat memerlukan Shah berbincang terlebih dahulu bersama pasukan sebelum memutuskan tarikh sebenar untuk dia berangkat ke Tanah Suci.

“Saya akan pertimbangkan sama ada akan ke Kejohanan Dunia ataupun tidak, kalau tak ke Kejohanan Dunia pada Oktober di Ballerup, Denmark, saya akan pergi umrah,” jelasnya.