EMPAT gol daripada tiga perlawanan persahabatan membuktikan Kelantan United FC (KUFC) serius untuk mempersiapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia 2023 hujung Februari nanti.

Tewas 1-2 di laman sendiri sebelum bangkit seri 1-1 di Kuala Terengganu menentang Sang Penyu, anak didik Tomas Trucha meraih kemenangan 2-0 mengatasi Negeri Sembilan FC pada aksi di Stadium UPM Serdang, Sabtu.

Bakal menentang Kuala Lumpur City FC, Selasa ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Kijang Hijau pastinya mengharapkan keputusan postif mampu diraih pada aksi tersebut.

Selepas berdepan The City Boys, KUFC akan menamatkan siri jelajah di Lembah Klang dengan berdepan PDRM FC di Stadium UPM Serdang, 2 Februari nanti.

Barisan pemain KUFC meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC.

Bagi penolong ketua jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor, dia menuntut pemain mengekalkan konsistensi dan dapat meningkatkan lagi tahap kecergasan.

‘KL City sebuah kelab yang sudah diakui dengan kejayaan sejak dua musim lepas. Perlawanan dengan mereka sangat penting dan disebabkan itu pemain Kelantan United FC kena menaikkan lagi mutu permainan mereka termasuklah kecergasan dan keserasian agar dapat memberi saingan kepada anak buah Bojan Hodak,” tegasnya.

Mengulas kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC, Nazrulerwan melihat peningkatan dari pemain selain keserasian juga semakin baik diantara mereka.

Bagaimanapun, Nazrulerwan melihat masih ada banyak ruang yang perlu mereka perbaiki dan tingkatkan agar Sang Kijang Hijau dapat memberi cabaran bila saingan sebenar berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN : Kijang Hijau pilih Lembah Klang destinasi pramusim

Mengenai corak permainan pemain import, Ernist Batyrkanov dan Yan Victor, Nazrulerwan memaklumkan mereka masih dalam fasa membentuk keserasian dengan pemain tempatan.

“Mereka baru berlatih. Masih mencari keserasian dan dalam masa yang sama sedang meningkatkan kecergasan.

“Pihak kejurulatihan mengharapkan pemain import cepat serasi dengan cuaca, budaya dan pemakanan di Malaysia,” jelasnya.