PENGENDALI Tajikistan, Gela Shekiladze mengakui kekurangan dalam kualiti pasukannya menjadi punca utama kekalahan kepada Lebanon sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka.

Jurulatih kelahiran Georgia itu turut menyatakan pemainnya bergelut untuk beraksi dalam cuaca yang panas selain faktor tidak mempunyai persiapan yang mencukupi juga menjadi faktor mereka beraksi kurang baik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun dia masih optimis pasukannya mampu memenangi perlawanan kedua menentang sama ada Malaysia atau Filipina dan mahu para pemainnya belajar sesuatu daripada kekalahan ini.

Gela Shekiladze akui sedikit tertekan sebagai juara bertahan

“Pertama sekali ianya perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan mahu menang. Kami membina perlawanan untuk jaringkan gol tetapi dalam bola sepak jika anda kekurangan kualtiti anda akan tewas dan lawan berjaya jaringkan gol yang cukup untuk mereka menang yang berpunca dari kelekaan kami dalam mempertahankan sepakan sudut.

“Jika dibandingkan dengan tahun lalu, pasukan ini berbeza dan matlamat kami adalah berikan pengalaman buat pemain dan mereka boleh belajar dari kekalahan ini kerana ada antara mereka yang kelihatan tidak bersedia kerana sukar bermain dalam keadaan yang panas namun itu bukanlah alasan.

“Kami masih ada peluang untuk menang perlawanan kedua dan saya faham keadaan pemain yang keletihan tetapi mereka adalah pemain profesional dan ini adalah proses untuk membina pasukan terutama dengan pemain muda yang kami ada,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Miodrag Radulovic gembira dendam kekalahan terbalas

Sementara itu pengendali Lebanon, Miodrag Radulovic nyata gembira kerana dapat membalas dendam kekalahan ketika Piala Asia dan dia mahu bertemu Malaysia kerana mahu merasakan suasana meriah di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya berpuas hati dengan kemenangan dan cara kami bermain kerana sasaran kami hadir ke sini untuk mencuba beberapa pemain dan layak ke final dan kami berjaya mencapai kedua-duanya tetapi sekarang pemain perlu berehat dan bersedia untuk final.

“Kami mempunyai sasaran untuk memperbaiki pasukan dan membalas dendam kekalahan di Piala Asia meskipun sukar kerana 80 peratus pemain tanpa perlawanan kompetitif dan kami berharap dapat berjumpa Malaysia di final kerana mahu merasai suasana penyokong di stadium ini,” jelasnya.

Jaringan tunggal Jihad Ayoub pada babak pertama cukup menjadi pemisah kedua-dua pasukan dan Tajikistan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu manakala Lebanon cuba untuk membawa pulang trofi berprestij itu ke Beirut.