PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Tajikistan merupakan pasukan keempat menggantikan Lebanon bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 13 hingga 17 Oktober 2023.

FAM telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) pada Isnin, 14 Ogos 2023 menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lebanon dan Palestine telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

Sehubungan itu, FAM mengambil langkah proaktif  menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut tidak terjejas.

Pada 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon itu.

Biarpun terdapat perubahan pasukan namun susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestine kini akan menentang Tajikistan.