SKUAD bola sepak Tajikistan melakar sejarah dengan layak ke peringkat kalah mati buat pertama kali selepas menewaskan Lubnan, dengan jaringan 2-1 dalam Kumpulan A, Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad sebentar tadi.

Aksi pada separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri untuk kedua-dua pasukan.

Meneruskan permainan pada separuh masa kedua, Lubnan akhirnya menjaringkan gol pembukaan menerusi Bassel Jradi pada minit ke-47 permainan. Percubaan Bassel dari luar kotak penalti menerjah jaring melepasi penjaga gol Tajikistan, Yatimov Rustam.

Selepas gol dijaringkan, kerancakan perlawanan semakin sengit dengan beberapa percubaan berjaya dirancang oleh kedua-dua pasukan.

Berlaku insiden kad merah kepada pemain Lubnan, Kassem Al Zein selepas dia didapati melalukan kesalahan menerusi semakan video bantuan pengadil (VAR). Keputusan pengadil memaksa Lubnan bermain dengan 10 pemain.

Kelebihan itu dimanfaatkan oleh Tajikistan apabila pada minit ke-80 permainan, Tajikistan menyamakan kedudukan menerusi Umarbayev.

Penyerang gantian Tajikistan, Nuriddin Khamrokulov menjadi wira pasukan pada minit akhir masa kecederaan selepas tandukan cantiknya ke gawang Lubnan dan memastikan gol kemenangan.

Tajikistan mencipta sejarah dengan layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama selepas layak ke Piala Asia 2023, kali pertama selepas bergabung dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1994.