MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan kepentingan Hari Sukan Negara (HSN) sebagai usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hannah turut mengumumkan pelbagai inisiatif baharu, termasuk pelepasan cukai khas bernilai RM1,000 bagi kategori sukan pada majlis perasmian yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

“Kami menyasarkan lebih 4.5 juta rakyat Malaysia yang bersama-sama dalam HSN di seluruh negara hari ini. Kami mahu menjadikan sukan sebagai gaya hidup dan dengan pengenalan pelepasan cukai RM1,000, saya berharap lebih ramai akan memanfaatkan inisiatif ini,” katanya pada Majlis Hari Sukan Negara pada Sabtu.

Hannah Yeoh merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2024.

Menurut Hannah, terdapat 103 jenis sukan yang telah diwartakan di Malaysia, memberi pelbagai pilihan kepada rakyat untuk terlibat dalam aktiviti sukan mengikut minat masing-masing.

“Jadi dah tak ada alasan untuk tidak bersukan, pilih satu dan jadikan ia sebahagian daripada kehidupan harian,” tambahnya.

Hannah turut berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menerima peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan, khususnya untuk memastikan kesinambungan inisiatif sukan yang telah dimulakan.

Penambahan dana juga diperlukan bukan sahaja untuk sukan elit tetapi juga bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Hari Sukan Negara sebenarnya adalah sorotan dari apa yang kita ada, dan idealnya, acara seperti ini patut diadakan setiap hujung minggu.

“Kami mahu rakyat Malaysia sedar bahawa sukan penting untuk kesihatan dan gaya hidup yang lebih baik, yang pada akhirnya dapat mengurangkan kos rawatan kesihatan negara,” jelasnya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bersama atlet Olimpik dan paralimpik negara memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 di dataran Putrajaya.

Hannah juga menekankan kepentingan aksesibiliti dalam sukan dan menyatakan KBS telah mewujudkan 43 lokasi senamrobik percuma di Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh Kuala Lumpur.

“Bagi golongan yang tidak berpeluang keluar bersenam, kami sediakan kelas senamrobik percuma setiap minggu. Selain itu, kelas renang percuma juga diadakan untuk kanak-kanak di kawasan berisiko lemas.

“Dengan pelbagai program sukan komuniti yang diperkenalkan, saya berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia akan menyertai dan merasai kemudahan yang disediakan.

“Kami sedang wujudkan banyak program yang menyenangkan rakyat untuk bersukan. Apa yang kami perlukan sekarang adalah bajet lebih untuk menaik taraf fasiliti sedia ada,” jelas Hannah.

Hari Sukan Negara 2024 menyaksikan pelbagai aktiviti menarik dengan lebih 64 acara sukan, termasuk kejohanan bola keranjang yang dihadiri lebih 400 pasukan, diadakan di seluruh negara.