KALI pertama menerima penajaan peribadi dan dilantik sebagai duta, gandingan meningkat naik Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penyertaan dalam kejohanan besar, di kedudukan lebih baik.
Wei Chong, 24, dan Kai Wun, 23, berkata, mereka tidak boleh lagi tewas di pusingan pertama dan kedua apabila disenarai menyertai kejohanan Super 500 ke atas (750, 1,000).
“Untuk layak ke Olimpik, kami tidak ada banyak masa lagi kerana tinggal kira-kira enam bulan sehingga April tahun hadapan.
“Kami perlu breakthrough di kejohanan-kejohanan besar Super500 ke atas, tak boleh lagi kalah awal,” kata Wei Chong.
Wei Chong dan Kai Wun ditemui pada majlis pengumuman pelantikan mereka sebagai duta besar NCT Alliance, iaitu satu program “Road to NCT” yang bertujuan mencungkil bakat baru dalam arena badminton negara, yang berlangsung di Arena Sentosa, Kuala Lumpur.
NCT Alliance, sebuah syarikat pemaju hartanah mencarkan program perkongsian strategik melalui kelab badminton Petaling BC.
Sementara itu, Kai Wun yakin, pelantikan mereka sebagai duta besar syarikat pemaju hartanah itu, memberikan keyakinan dan motivasi untuk mencapai keputusan lebih baik.
“Saya tidak rasa menerusi penajaan dan pelantikan duta besar ini sebagai satu tekanan, kami rasa bagaikan dihargai,” kata Wei Chong.