ATAS kertas Kepulauan Solomon dilihat lebih ‘gagah’ jika berdasarkan ranking FIFA kerana menghuni tangga ke-134 dunia ketika ini.
Malah, rekod enam kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan menunjukkan Solomon bukan pasukan yang boleh dipandang remeh pemain Harimau Malaya.
Ujar pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies pertemuan persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi medan mendapatkan kemenangan, tetapi proses kematangan dan peningkatan pasukan lebih diutamakan.
Mengenai perlawanan tersebut, dia mengakui bahawa penting untuk mendapatkan kemenangan tetapi adalah lebih penting untuk melihat proses peningkatan pasukan.
“Tahap bola sepak Solomon sedang berkembang baik jadi kami tak harus ambil mudah.
“Kemenangan memang penting namun proses lagi penting. Sekiranya kita turuti taktikal jurulatih saya percaya kemenangan akan mengikuti.
“Mutu permainan pasukan kita semakin baik dan menentang lawan seperti mereka sudah tentu peminat menjangkakan mendapat kemenangan,” kata pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Prestasi semasa yang dipamerkan Davies dalam Liga Super cukup membanggakan. Pemain berdarah Malaysia-Australia beberapa kali berjaya mengekang asakan dan mengagalkan peluang pasukan lawan daripada menyumbat gol.
Disiplin Davies ketika mengawal kubu JDT juga memperlihatkan bahawa dia merupakan seorang pemain yang cukup berbakat dalam membaca permainan dan khidmatnya bakal digunakan sepenuhnya dalam skuad Harimau Malaya untuk aksi bertemu Solomon pada Rabu.