FOTO KREDIT : TERENGGANU FC

KELIBAT penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri tidak menggerunkan bek tengah Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic.

Pemain pertahanan kelahiran Montenegro itu sebaliknya melaungkan tekad untuk merantai pergerakan penyerang itu bagi memastikan misi sekurang-kurangnya mengutip satu mata berjaya dicapai.

Menurut Redzovic, Sang Penyu juga tidak akan memberi laluan mudah buat JDT meskipun skuad Harimau Selatan itu turun selaku pasukan pilihan dengan rekod bersih 100 peratus kemenangan.

“Sejak bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) lima tahun lalu, JDT sentiasa pasukan terbaik dan Bergson bukan calang-calang pemain. Jadi kami perlu fokus 90 minit untuk mengawal pergerakannya.

“Begitu juga kehadiran Forestieri yang sudah mencetak 14 gol dalam liga dan dua pemain itu hanya memerlukan satu peluang untuk merobek pintu gol lawan dengan mudah.

“Namun jika mampu menyekat mereka, saya yakin TFC boleh meraih keputusan positif paling tidak seri atau mungkin mengutip tiga mata,” jelasnya kepada FLASH SUKAN semalam.

Bekas pemain PDRM FC dijangka menjadi pilihan Tomislav Steinbruckner bagi mengetuai benteng pertahanan bersama Shahrul Nizam Roshasni ekoran kecederaan lutut dialami Sardor Kulmatov.

Redzovic, 31, berkata, tiada istilah mustahil dalam bola sepak dengan moral pasukan itu juga berada dalam momentum terbaik selepas layak ke separuh akhir Piala FA.

“Walaupun berdepan tugas berat, kami tidak akan memberi jalan mudah kepada JDT dan mengunci pergerakan dua penyerang import itu antara fokus kami Jumaat ini

“Kelebihan beraksi di tempat sendiri boleh menjadi faktor kemenangan dan TFC juga telah membuktikan kami sukar dijinakkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.