SELEPAS tujuh tahun tidak dapat melihat pemain tempatan mengungguli gelaran Terbuka Malaysia, saingan 2024 diharap disingkap dengan langkah positif, namun tidak mudah untuk mana-mana pemain menawan Axiata Arena.

Hal itu dikongsi juara dua kali beregu lelaki, Tan Boon Heong yang pernah menjuarai edisi 2007 dan 2010 bersama Koo Kien Keat.

Pernah merasai suasana di Axiata Arena, Boon Heong mahu pemain menampilkan prestasi terbaik.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pernah menjuarai Terbuka Malaysia 2007 dan 2010.

“Terbuka Malaysia ni bukan senang untuk kita main dan tawan, ada tekanan biarpun biasanya orang cakap main di tempat sendiri tiada tekanan, tapi bagi saya tekanan itu tetap ada dan saya harap pemain kita dapat handle,” kata Boon Heong, yang turut hadir ke Axiata Arena.

Mengulas mengenai peluang Aaron Chia-Soh Wooi Yik kali ini, Boon Heong berkata, saingan beregu lelaki amat sengit dan terbuka tanpa mengira kedudukan ranking pemain.

“Apa saya boleh katakan adalah fokus mata demi mata… saya pernah melalui pengalaman ketika hampir kalah, penyokong kita mula marah-marah dan menjerit suruh balik.

“Perkara begini satu tekanan walaupun bukan semua penyokong bersikap begitu.”

Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Denmark.

Menurutnya, hanya Datuk Lee Chong Wei berjaya menawan Terbuka Malaysia selepas 12 kali meraih gelaran.

Untuk rekod, Goh V Shem-Lim Khim Wah menjadi beregu lelaki terakhir menjuarai Terbuka Malaysia pada edisi 2014, manakala pemain terakhir negara memenangi Terbuka Malaysia adalah Chong wei pada 2018.

Chong Wei memenangi gelaran pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018.