JIKA rentak permainan ketika bangkit menumpaskan Kyrgyzstan pada babak kedua dikekalkan, besar kemungkinan harapan Malaysia mencipta satu lagi kemenangan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 boleh dicapai.

Skuad Harimau Malaya menjadi bualan di bibir peminat tanpa henti seluruh negara berikutan epik ‘comeback‘ luar biasa serta mencuri tumpuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang mengemaskini status perlawanan di Bukit Jalil pada Khamis lepas.

Sosok tubuh bernama Kim Pan-gon berjaya mengubah ‘mindset‘ para pemain di bilik persalinan wajar dipuji kerana selepas ketinggalan 1-3, jarang-jarang (tak banyak) pasukan tuan rumah akan bangkit menukar keputusan.

Berdasarkan kepada situasi semasa skuad Harimau Malaya sudah pastinya tidak mustahil untuk merealisasikan impian untuk berada di kelompok 120 terbaik dunia dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin meletakkan sasaran untuk berada di kelompok 120 dunia berdasarkan kepada perancangan terbaik dan kejayaan memihak kepada Harimau Malaya.

Ranking terkini skuad kebangsaan di laman rasmi Fifa.

Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan 137 dunia yang juga ranking terbaik Harimau Malaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan kedudukan terburuk pada 2018 yang mana menghuni tangga 178.

Jurutaktikal Asia yang pernah membimbing kelab Malaysia, Indonesia dan Bangladesh, Raja Isa Raja Akram Shah menjelaskan mana-mana pasukan akan ada tekanan untuk beraksi di perlawanan pertama apa lagi di tempat sendiri.

“Lawan Taiwan kita wajib fokus dan jalankan strategi sesuai arahan Pan-gon. Malaysia secara taktikal dan strategi selalu utamakan kerja berpasukan mengaplikasi gabungan penguasaan bola dan bola hadapan untuk melawan.

“Gabungan kemahiran individu Arif Aiman ​​dan Faisal Halim serta disokong kapten berpengalaman Dion Cools untuk membimbing pasukan ditagih meneruskan momentum persefahaman atas padang.

“Apa pun Malaysia wajib perbaiki situasi transisi dari menyerang kepada bertahan. Itu yang berlaku ketika tiga gol pertama dapat dijaringkan pasukan lawan di Bukit Jalil tempoh hari,” katanya.

Beliau yang kini berada di Guinea percaya bola sepak Malaysia masih dalam proses regenerasi yang positif menggandingkan pemain naturulisasi dan produk lokal.

Malah katanya, persembahan mantap Johor Darul Ta’zim di Liga Juara-Juara musim ini dan kebangkitan Terengganu dan Sabah di saingan Piala AFC menjadi faktor pendorong pasukan kebangsaan bangkit dan menang ke atas Kyrgyzstan.

Untuk maklumat, kempen kelayakan ini bermula ketika jendela antarabangsa FIFA pada November diikuti Mac dan Jun 2024. Setiap jendela tersebut, akan berlangsung dua perlawanan dan setiap pasukan mengharungi enam perlawanan secara keseluruhan dengan format home dan away.

Juara dan naib juara setiap kumpulan di Pusingan 2 ini akan mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta melayakkan diri secara automatik ke saingan Piala Asia 2027.

Pasukan yang menamatkan saingan Kelayakan Pusingan 2 di tangga ketiga dan keempat kumpulan pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada aksi Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, pasukan-pasukan yang bertanding ini masih berpeluang untuk merebut slot ke saingan Piala Asia 2027.