PEMAIN sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi bersyukur dengan kemenangan ke atas Republik Krygyz yang disifatkan sebagai rezeki kerana tidak menyangka Malaysia dapat melakukan kebangkitan dramatik pada lewat permainan.
Arif mempamerkan aksi cemerlang dengan empat bantuan jaringan ketika membantu Malaysia menang 4-3 dalam aksi Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
“Syukur dengan kemenangan malam ini. Kami bermain baik pada separuh masa pertama terutama 30 minit pertama tetapi selepas itu mereka berjaya jaringkan dua gol yang berpunca akibat kelekaan kami.
Selepas itu, kami bolos satu lagi gol pada babak kedua tetapi tidak ada sebab untuk kami mengalah dan buat yang terbaik untuk dapatkan lagi tiga gol untuk mencipta kemenangan kerana kita memang wajib menang perlawanan pertama kelayakan ini sebab ianya sangat penting untuk dapat tiga mata,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Pemain paling bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan itu juga berkongsi perasaannya selepas ketinggalan 1-3 ketika permainan berbaki 18 minit dengan menyatakan mereka tidak putus asa namun masih terkejut kerana tidak menyangka dapat bangkit mencipta kemenangan.
“Semasa ketinggalan, saya tidak fikir apa-apa cuma terkejut kerana kami kena tiga gol dan tak percaya rezeki dapat bangkit tiga gol kerana pasukan lawan berada di ranking lebih tinggi.
“Tetapi apa yang penting adalah menang dan tidak kisah sama ada bangkit atau mendahului kerana apa yang penting adalah tiga mata,” kongsinya.
Dua sepakan sudutnya menemui Dion Cools manakala hantaran lintangnya memaksa pertahanan lawan tertampan ke gawang sendiri sebelum mengumpan kepada Faisal Halim untuk gol keempat yang juga gol kemenangan pada masa kecederaan yang menggembirakan lebih 17,000 penyokong.