KEMENANGAN 4-2 Sabah FC ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Selasa nyata mengejutkan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau memuji mentaliti yang ditunjukkan para pemain meskipun ada beberapa ketika mereka seakan-akan gagal untuk bermain permainan sebenar mereka dan mengakui jika pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol awal keadaan pasti akan berubah.

Selain itu, Kim Swee turut memuji kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang bukan sahaja menjaringkan dua gol tetapi bermain baik walaupun terpaksa mengharungi 120 minit dalam perlawanan sebelum ini.

“Kalau mengikut perancangan saya tidak jangkakan dapat menjaringkan hingga empat gol. Pemain saya bangkit selepas Penang menjaringkan gol penyamaan dan ini menunjukkan mereka mempunyai mentaliti dan keyakinan yang sangat bagus.

“Dalam 90 minit permainan keadaan sentiasa bertukar. Saya akui jika Penang berjaya menyempurnakan peluang pada awal babak pertama, ianya akan merubah suasana perlawanan.

“Kita semua maklum bahawa Baddrol Bakhtiar adalah pemain yang cukup berpengalaman dan bermain cukup baik di posisi yang berlainan. Pemain saya mengalami sedikit keletihan kerana terpaksa bermain 120 minit pada aksi lalu, tetapi majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan memuaskan,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Sabah FC kini ditangga kedua liga berkongsi 15 mata bersama JDT dan Negeri Sembilan FC tetapi dibezakan perbezaan jaringan dan jumlah permainan.