SETIAP orang mempunyai kelab bola sepak kesayangan tersendiri tidak kira sama ada ianya kelab tempatan mahupun luar negara.
Secara rasionalnya, pemilihan sesebuah kelab kesukaan disebabkan pelbagai faktor termasuk sama ada kerana barisan pemain, sejarah kelab, pencapaian kelab, fasiliti dan sebagainya.
Realitinya bagi kelab di Malaysia, dari segi kejayaan serta pencapaian luar biasa setiap tahun ianya lebih sinonim dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Peningkatan sokongan kepada kelab ini lebih terserlah apabila skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora ini beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC 2022 (ACL) yang kini sedang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim bagi saingan Kumpulan I.
Secara keseluruhannya, JDT mewakili Malaysia menentang kelab-kelab terbaik di Asia. Di sini kita boleh lihat rata-rata penyokong Malaysia bersatu menyokong JDT di pentas ACL tahun ini.
Namun tidak semua anak jati Johor memilih menyokong JDT sepenuhnya biarpun sedar kelab Harimau Selatan ini adalah yang terbaik di Malaysia dari segi semua faktor.
Antaranya Usairy Syafiq secara jujur mengakui hatinya lebih kepada kelab bola sepak Jepun selepas lebih sedekad tinggal di sana sebelum ini bagi melanjutkan pelajarannya.
Jelas Usairy Syafiq atau lebih digelar Kucai, semasa berkelana ke Jepun, dia telah menjadi penyokong tegar pasukan Japanese League 2 (J2) Fagiano Okayama, iaitu kelab salah seorang pemain kebangsaan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak bermain bermula tahun 2019.
“Sepuluh tahun menonton bola sepak Jepun, minat saya kepada kelab di sana lebih kuat. Kebetulan pula saya meminati kelab Fagiano Okayama, yang diwakili Hadi Fayyad.
“Pun begitu, saya akui pasukan JDT (ACL) bukanlah calang -calang dengan berbekalkan susunan taktikal menarik Benjamin Mora.
“Saya percaya pertembungan antara dua kelab gergasi Asia ini pasti hebat namun tetap menjangkakan kemenangan tipis berpihak kepada pasukan Kawasaki Frontale.
“JDT sangat mantap , mereka pegang bola dengan baik. Tetapi saya harap Kawasaki Frontale boleh menang 1-0 ataupun 2-1,” kongsinya kepada Flash Sukan.
Bagaimanapun, sebagai penyokong tegar bola sepak tegar, Usairy Syafiq menyeru semua penonton membanjiri stadium bagi memeriahkan suasana bola sepak di negara kita tanpa bersifat prejudis kepada mana- mana pasukan kerana bola sepak adalah sukan yang sangat indah.
“Tak kisahlah team mana, sukan bola sepak adalah sangat indah.
“Hanya dengan datang menyokong kedua-dua pasukan akan memeriahkan dan menaikkan taraf bola sepak kita,” tambahnya.
Pun begitu Usairy Syafiq memberitahu jiwanya masih tetap menyokong pasukan negara.
“Cuma kalau melibatkan pasukan Jepun dengan Malaysia, peratusan sokongan kepada pasukan Jepun lebih banyak kerana saya memang suka budaya bola sepak mereka.”