LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mencadangkan kepada Lee Zii Jia supaya tidak menyertai kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), jika tidak gembira dan tidak selesa dengan peraturan dikeluarkan badan induk badminton negara.

Chong Wei dalam satu kenyataan berkata, tindak tanduk Zii Jia dan kemnya termasuk jurulatih Wong Tat Meng yang membuat kenyataan di media sosial menggambarkan sikap tidak matang.

“BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah berkomunikasi dengan semua pemain profesional untuk mengenakan pakaian, baju dan seluar tanpa jenama penajaan rasmi ketika menjalani latihan di ABM, namun tiada masalah untuk menggunakan raket, beg raket, kasut daripada penajaan peribadi.

Tidak pernah berhenti isu dan rungutan daripada Lee Zii Jia, keputusan di pentas antarabangsa masih konsisten di pusingan awal.

“Saya rasa permintaan BAM itu cukup munasabah kerana mereka juga mempunyai halangan dan komitmen yang harus dijalankan terhadap penaja mereka. Mengapa kem Zii Jia menjadikan perkara ini satu isu ketika pemain profesional lain seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan jurulatih mereka, Rosman Razak tiada masalah,” kata Chong Wei, yang meminta agar Zii Jia lebih matang dan menguruskan setiap permasalahan dengan sikap bertanggungjawab.

Justeru beliau berkata, “Jika Zii Jia tidak gembira dengan peraturan dan rasa kurang senang, dia boleh memilih untuk tidak menyertai latihan di ABM, mudah saja penyelesaiannya jika dia berasa peraturan itu tidak disenangi.”

Datuk Lee Chong Wei (kanan) mahu Lee Zii Jia belajar menghargai dan bersyukur dengan bentuk bantuan di terima, dan perlu mengiktiraf pihak yang banyak membantu.

Mengulas mengenai latihan bersama di ABM, Chong Wei berkata tujuan pemain profesional dan kebangsaan berlatih bersama adalah untuk meningkatkan tahap permainan pemain dan matlamatnya bukan semata-mata untuk menghadapi Kejohanan Dunia sebaliknya berteruasan hingga ke Olimpik Paris, tahun hadapan.

Chong Wei yang dilantik sebagai Pengurus Badminton bagi program Road to Gold berkata, dia sendiri mencadangkan latihan bersama kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dalam misi perburuan pingat emas pertama Malaysia di temasya itu.

Petikan status Instagram milik Wong Tat Meng “tatmeng_wong”, berang dengan syarat BAM halang pemain profesional memakai pakaian jenama lain selain Yonex ketika jalani latihan bersama di ABM.

“Zii Jia perlu mengiktiraf dan menilai dengan baik bantuan yang diterimanya daripada pelbagai pihak termasuk BAM.

“Nasihat saya kepada Zii Jia, dia perlu fokus kepada menunjukkan penghargaan daripada secara konsisten merungut.

“Dari perspektif ini, Zii Jia memupuk dirinya supaya lebih positif dengan sikap sentiasa bersyukur dengan sokongan dan peluang yang diterima,” kata Chong Wei.

Komen ditinggal Lee Zii Jia pada status Instagram milik Wong Tat Meng.

Pada Rabu, Tat Meng menerusi laman Instagramnya meluahkan rasa kecewa terhadap BAM yang mengenakan syarat kepada pemain profesional, tidak boleh memamai baju dan seluar menggunakan jenama tajaan persendirian ketika menjalani latihan bersama di ABM dan mewnganggap mereka dibuli ‘orang besar’.

Status Tat Meng itu mendapat sokongan dan disusuli komen daripada Zii Jia, “Jangan nanti cakap saya “Besar Kepala” tak datang training pulak. Aishhhh….. Susah nii nak jadi LZJ semua salah, I pening”.