DATUK Pandelela Rinong tidak akan bersara semata-mata gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.
Ratu terjun negara itu berkata, kegagalannya mencatat keputusan baik di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu, tiada kaitan dengan faktor usia, biarpun wujud desakan untuknya bersara.
Dia mengakui, catatan mata diraihnya di Kejohanan Dunia itu agak rendah berbanding prestasi di kejohanan lain, Pandelela mempertahankan dirinya perlu kekal dalam skuad kebangsaan berikutan ketiadaan pelapis yang mampu mengambil alih tugasan penerjun senior, akibat jurang kualiti yang besar.
“Tidak juga (usia), kerana penerjun muda sedia ada pun masih belum dapat menyaingi saya. Cuma saya nak katakan, ada faktor lain yang menggangu pasukan kami ketika ini.
“Bagi kami, hendak bersara boleh, tetapi atlet junior perlu berjaya menang mengatasi kami, baru mereka ada peluang untuk lawan dengan penerjun luar negara.
“Saya boleh kata untuk acara saya (10m platform), jurangnya masih jauh,” jelas Pandela, ketika tiba di Lapang Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Justeru, Pandelela menyarankan kem terjun negara memperkasakan semula program terjun agar Malaysia tidak terus ketinggalan di persada dunia.
“Sekarang ini saya kena tengok atlet junior dahulu, peranan saya sekarang adalah mengisi kekosongan dalam pasukan. Sebelum ini saya sudah katakan, program pembangunan kita, perlu diperkuatkan.
“Ketika Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini pun saya sudah suarakannya dan memberi amaran, apabila acara wanita dibatalkan, tetapi macam tidak didengari sahaja,” ujar Pandelela.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia, di Doha minggu lalu, atlet berusia 30 tahun terbabit, terpaksa melupakan hasrat beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelima, selepas tersingkir di pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu, apabila hanya menduduki kedudukan ke-29.
Manakala terjunannya bersama Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama berakhir di kedudukan ke-12.