JURULATIH pasukan Bawah-23 Thailand, Alexandre Poelking mengakui tidak cukup tidur selama dua malam menjelang aksi pembukaan Sukan SEA 2021.

Mana tidaknya, dia sendiri akui banyak berfikir mempersiapkan strategi untuk B-23 Thailand melawan Malaysia dalam saingan Kumpulan B pada Sabtu.

Memetik laporan Siamsport, mesra disapa Mano Poelking, dirinya perlu memastikan persiapan pasukan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan akhir.

“Saya tidak dapat tidur selama dua malam terakhir dan saya memikirkan beberapa masalah. Saya akan menunggu sehingga B-23 Thailand memiliki kekuatan yang cukup.

“Susunan pemain juga belum lengkap kerana beberapa pemain handalan belum hadir ke Vietnam,” ujar Poelking.

Skuad B-23 Thailand disasarkan meraih emas buat peminat setia bola sepak untuk temasya kali ini dan berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Kemboja, Singapura dan Laos.

“Ia tidak akan mudah. Kami kehilangan beberapa pemain penting. Kami akan mengadakan satu sesi latihan dengan kesemua 20 pemain.

“Tetapi kami adalah Thailand dan sebagai Thailand kami sentiasa mempunyai peluang. Kami akan berjuang dan memberikan yang terbaik,” ujarnya lagi.