PEMAIN import baharu JDT, Takahiro Kunimoto menjadi pemain yang menjaringkan gol ke-100 buat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menyumbat gol kedua Harimau Selatan pada minit ke-24 ketika menentang Kelantan FC dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Sejak memulakan kempen Liga Malaysia pada Februari, JDT sudah menjaringkan 79 gol dalam saingan Liga Super, 14 dalam Piala FA yang mana barisan Esteban Solari muncul juara dan kini sudah menjaringkan tujuh gol dalam saingan Piala Malaysia.
Jaringan Kunimoto itu juga adalah jaringan pertamanya sejak ditandatangani minggu lalu sekaligus menjadi debut yang cukup manis buat pemain kelahiran Jepun itu.
Menurut rekod juga, ini adalah jaringan ke-919 dalam sejarah JDT sejak ditubuhkan pada 2013 dengan musim ini seramai 20 pemain sudah terlibat dalam menjaringkan gol buat Harimau Selatan.