SEJAK ditubuhkan pada 2013, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya memenangi 26 piala dengan 10 kejuaraan Liga Super, lapan Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA dan satu Piala AFC selain bergelar juara quadruple sebanyak dua tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, kesemua kejayaan ini tidak datang bergolek jika bukan usaha yang dipacu oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menerusi Instagram Official Johor, Tunku Ismail turut mengingatkan segala pencapaian yang dirangkul Harimau Selatan tidak akan berlaku tanpa input baginda dalam setiap aspek.
“Daripada jaga rumput, falsafah bolasepak, infrastruktur, hingga ke celebration. Tiada orang boleh buat apa kami/JDT buat dalam negara ini atau Asia sebagai sebuah club.
“Kejayaan sama-sama mengiringi pemodenan dan inovasi. Celebration kita adalah identity kita mewakili concept inilah JDT. Lain dari lain,” katanya.
Selain itu, TMJ juga berikrar dan sentiasa meningkatkan kualiti pasukan JDT dari setiap aspek.
“Kepada keluargaku, terima kasih atas sokongan anda, dan kepada musuhku, jangan kau bercemburu atau membenci tetapi anda semua harus mengagumi kehebatan ini dan hargai sumbangan JDT kepada bola sepak tempatan.
“Kerana tidak akan ada lagi kelab macam JDT dalam setiap aspek. Kerana ada satu sahaja TMJ,” kata hantaran itu.
Sabtu lepas, JDT bukan sahaja bergelar juara 10 kali berturut-turut tetapi juga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dua musim berturut-turut yang nyata menggembirakan lebih 33,000 penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di Seri Iskandar untuk meraikan ‘Decade of Dominance’.
Musim ini skuad kendalian Esteban Solari menoktahkan kempen Liga Super cukup gemilang dengan gelaran Double Quadruple, tanpa kalah, jaringan terbanyak, bolos pada sedikit dan mata terkumpul terbanyak.