PERCATURAN Pep Guardiola yang membawa masuk Jack Grealish dan Riyad Mahrez pada separuh masa kedua nyata membuahkan hasil apabila gandingan mereka memastikan tiga mata buat Manchester City.

Hanya tujuh minit selepas dimasukkan, Grealish dan Mahrez membalas kepercayaan apabila Mahrez meledak gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Chelsea.

Guardiola mengakui pemainnya tidak beraksi sebagaimana diharapkan pada separuh masa pertama dengan tidak mencipta banyak tekanan dan sangat lemah serta tidak teratur.

“Segala-galanya tidak menjadi, kami tidak mempunyai rentak, apabila kami tiba di kedudukan kami tidak bagus.

“Jika Arsenal telah menewaskan Newcastle, pendahuluan akan menjadi 10 mata – kini jurangnya lima. Saya memberitahu pemain tidak banyak yang berubah – ada 63 mata lagi untuk dimainkan, tetapi ada orang yang percaya pada November bahawa kami akan menjadi juara sekali lagi dan ini adalah mustahil,” tegasnya.

Tambahnya lagi, selepas memenangi Liga Perdana empat kali dalam tempoh lima tahun, bukan mudah untuk menolak pemain sekali lagi dan itulah sebabnya dia berpuas hati dengan pencapaian ketika ini.

“Kami lebih suka untuk menjadi lebih dekat, tetapi selepas cara Arsenal bermain, mereka layak berada di sana.

“Tiga mata itu penting, pastinya. Pemain tahu, sudah lama kami berada di puncak. Tetapi kami cuba, kami mempunyai Piala FA dan Piala Carabao dan kemudian aksi di Old Trafford.”

“Tetapi ia penting untuk perlawanan ini, kemenangan hari ini, kemudian Old Trafford kemudian Spurs, ia penting untuk puncak liga,” tegas pengendali Man City itu.

Kemenangan City memberi tekanan kepada bos Chelsea, Graham Potter, yang pasukannya kini hanya memperoleh enam mata daripada kemungkinan 24 dan melihat semakin jauh untuk menamatkan saingan di empat teratas.