PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal menambah baik kualiti pengadilan perlawanan, termasuk menggunakan skrin monitor untuk memaparkan video ulangan di bangku simpanan kedua-dua pasukan.

Timbalan Presiden PSM merangkap Ketua Exco Teknikal dan Kepengadilan Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, penggunaan monitor itu antara beberapa penambahbaikan untuk penggunaan ‘challenge’ pada masa akan datang.

“Antara penambahan yang ingin dilakukan PSM adalah meletakkan skrin monitor di bangku simpanan kedua-dua belah pasukan untuk jurulatih masing-masing melihat video ulang tayang dan memberikan dua keping kad untuk setiap pasukan untuk meminta ‘challenge’,” katanya.

Kenyataannya itu timbula selepas berlaku kekecohan berkaitan isu ketidakcekapan pengadil pada final Piala Cabaran 2023, yang berlangsung di Titiwangsa, Ahad lalu.

Difahamkan, kekecohan berlaku pada perlawanan antara Penang Black Panthers dengan Perak Bison, yang menyaksikan skuad dari Pulau Mutiara muncul juara.

Penang Black Panthers muncul juara Piala Cabaran 2023.

Peminat sepak takraw negara kecoh dengan keputusan pengadil perlawanan dan juri (video) selepas didakwa telah melakukan kesilapan yang merencatkan kebangkitan yang ingin dilakukan Perak Bison.

Kesilapan berlaku pada pertengahan set kedua memihak Perak Bison namun, Penang Black Panthers meminta cabaran (challenge) selepas pengadil mengesan kaki perejam mereka melepasi jaring.

Video rujukan menunjukkan hadangan tekong Perak Bison, Jakkrit Thinbanbong tidak batal dan turut memaparkan kesalahan perejam Penang Black Panthers, Aekasit Naphom namun, yang peliknya keputusan pengadil tetap berpihak kepada skuad Harimau Kumbang itu.

Wan Mohd. Husni berkata, pihaknya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak dan meminta laporan penuh daripada ketua pengadil.

Perak Bison terpaksa akur tewas kepada Penang Black Panters pada final Piala Cabaran 2023.

“Pada mulanya pengadil tangkap Aekasit batal sebab kaki melepasi jaring, Zaim (Razali) ‘challenge‘ nombor dua dengan mengatakan hadangan Jakkrit batal. Maksudnya, dia kata batal sebelum pengadil kesan kaki Aekasit melepasi jaring.

“Jadi pengadil rasmi hantar ke juri, juri tengok kata kaki melepasi jaring dan mata Penang Black Panthers. Saya rasa mungkin ada masalah komunikasi dalam kalangan pengadil dan juri sebab video ulangan menunjukkan hadangan Jakkrit ‘clear‘.

“Apa yang boleh nampak sebenarnya kaki Aekasit yang lebih setengah. Saya tidak tahu, juri bagi keputusan yang betul atau pengadil rasmi yang salah. jadi saya akan minta laporan penuh pengadil rasmi dan ketua juri untuk siasatan lanjut.

“Ini melibatkan mutu kepengadilan PSM, benda salah tetap salah tetapi, saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak kerana mahu siasatan dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Justeru, Wan Mohd. Husni juga tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan kepada jawatankuasa tertinggi agar mana-mana pengadil yang melakukan kesilapan dikenakan hukuman termasuk digantung daripada mengadili perlawanan.

“Saya akan cadangkan pengadil yang kerap melakukan kesilapan boleh digantung. Perkara ini perlu dilakukan bagi menjaga nama baik PSM dan kita tidak boleh lagi biarkan orang bantai kita,” katanya.