MESKIPUN kali kedua ketua jurulatih karate negara, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy berada di Malaysia selepas membimbing Sabah sebelum ini, namun hati beliau semakin terpaut dengan keunikan Malaysia terutama sekali apabila tiba bulan Ramadan.

Pengendali kelahiran Mesir itu mengakui sambutan Ramadan sangat berbeza di Malaysia berbanding negaranya dan selepas hampir sebulan berpuasa terutama dalam Majlis Sukan Negara (MSN) beliau mula tertarik dengan cara masyarakat Islam di negara ini.

“Sudah tentu rutin harian saya apabila tiba bulan Ramadan adalah berpuasa, serta mengerjakan solat berjemaah di masjid. Bagaimanapun, apabila dilantik menjadi ketua jurulatih karate negara, semuanya seakan pengalaman baharu buat saya terutama di dalam MSN.

“Di sini apabila masuk waktu solat saya akan berjemaah di Surau Al-Faizin. Apabila hendak berbuka saya juga lebih berminat berbuka di surau berkenaan berbanding pergi ke luar,” kata pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2008 itu.

Ketua jurulatih berusia 39 tahun itu memberitahu, dia tidak memilih soal makanan berbuka puasa di surau berkenaan dan makan apa sahaja juadah yang disediakan.

“Saya makan apa yang pihak surau sediakan. Saya makan pelbagai jenis makanan, setiap hari berbeza dan bagi saya ia sangat menarik. Ada juga makanan yang manis (kuih-muih) saya juga sudah mencubanya. Sekarang saya tidak ‘membenci’ makanan di sini.

“Ada kalanya makanan di sini sama seperti di negara kelahiran saya, terutama dari segi penyediaan ayam, daging, makanan dan laut. Cuma makanan pencuci mulut sedikit berbeza,” katanya, yang memilih kek seperti kek keju dan red velvet sebagai makanan selingan ketika berbuka.

Ditanya mengenai budaya bulan puasa di Malaysia, Tamer mengakui ia juga berbeza berbanding di Mesir, di mana masyarakat negara angkatnya ini lebih baik hati.

“Berbeza di sini berbanding di Mesir, sini lebih baik hati, di sana pula hanya pentingkan keluarga. Di sini apabila mereka lihat muka saya, mereka lebih teruja untuk mengajak kita menyambut puasa bersama-sama.

“Di sana ia bagaikan satu perayaan, sambutan yang lebih-lebihan di jalanan, pasang lampu. Di sini lebih Islamik. Saya lebih selesa di sini, walaupun saya tidak keluar dari MSN. Mungkin selepas Sukan SEA saya mampu melihat dengan lebih luas keadaan di luar apabila keluarga saya tiba di sini,” katanya, yang sentiasa melakukan panggilan video untuk melepaskan rindu keluarganya di kampung.

Tambah Tamer, walaupun bulan Ramadan, latihan dan sukan karate tidak dilupakannya malah fokus untuk membantu atlet negara untuk menuai emas di Sukan Sea diteruskan seperti biasa.

“Kami menjalankan program latihan tiga sesi sehari tetapi kebanyakkan dua sesi. Apa pun otak saya hanya asyik fikir mengenai karate sepanjang masa.