SELEPAS satu persatu kejohanan disertai, masih gagal menghadirkan keputusan positif, membuatkan moral bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chan Peng Soon terus merudum.

Kini status terkini pemain beregu campuran negara itu, menjadi tanda tanya setelah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu menarik diri daripada menyertai Terbuka Hylo di Jerman, yang bermula hari ini.

Kemungkinan persaraan awal Peng Soon pada usia 34 tahun itu, timbul selepas pemain itu memuatnaik hantaran di Instagramnya, “Selamat tinggal Paris, lain kali kita jumpa, saya dengan identiti berbeza.”

Hantaran status Instagram Chan Peng Soon mengundang tanda tanya.

Keputusan di dua kejohanan Terbuka Denmark dan Perancis tidak begitu memberangsangkan buat Peng Soon-Cheah Yee See apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan itu.

Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak menolak spekulasi berkenaan kerana satu pertemuan bakal dilakukan membabitkan dirinya bersama Peng Soon, Yee See dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh minggu ini.

Mungkinkah Chan PEng Soon dan Cheah Yee See membawa haluan sendiri selepas ini?

“Peng Soon ada memberitahu saya, selepas aksi di Eropah, kalau keputusannya tidak bagus dia memang sudah ada perancangan, dia tahulah dirinya berdasarkan usia.

“Mungkin dia bersara, tetapi bergantung, tidak pasti bila dia akan berjumpa Datuk Kenny, dari cara dia bercakap dia mungkin sudah ada keputusan.

“Jadi kita harus mencari jalan untuk meletakkan Yee See bergandingan dengan siapa, kita masih ada Choong Hong Jian, Chen Tang Jie, Hoo Pang Ron,” jelas Rexy yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Dalam masa sama, seorang lagi pemain beregu campuran negara, Peck Yen Wei membuat keputusan mengejut untuk meninggalkan badan induk itu semalam, selepas 10 tahun bersama.

Difahamkan, antara punca utama Yen Wei meninggalkan BAM adalah disebabkan bergelut dengan kecederaan di bahagian pergelangan kaki kiri.

“Dia sudah maklumkan saya dari awal, selama ini dia bergelut dengan kecederaannya, jadi dia mahu mencuba benda baru selepas ini, selain memberi peluang kepada pemain baru. Bukan kita tidak mahu dia, kita mahu, bahkan saya dan Datuk Kenny cuba memujuk dia, tetapi dia sudah membuat keputusan,” katanya.