KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe meneruskan misi memburu pemain import di posisi jentera serangan Gergasi Merah yang diyakini mampu menggalas tugas dengan baik sebaik saingan Liga Malaysia tahun ini bermula.
“Memang kita sedang mencari pemain import. Seperti yang kita tahu, Caion kita sudah lepaskan jadi memang kita masih mencari seorang penyerang untuk mengisi tempat tersebut,” ulasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Menurutnya, dia mendambakan seorang penyerang berupa ‘mesin gol’ dan mampu beraksi dalam setiap kombinasi ataupun posisi yang dikehendakinya ketika diberi tanggungjawab tersebut.
“Gambaran saya rasa, kalau kita hendak cari seorang penyerang, memanglah kita mahukan seorang yang boleh menjaringkan gol di samping boleh membantu pasukan dan bermain dalam pelbagai kombinasi.
“Dalam modern football, kita tidak boleh harapkan seorang penyerang sahaja untuk menjaringkan gol. Dia juga harus bermain secara berpasukan juga,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak berminat untuk melakukan penambahan pemain tempatan kerana menaruh kepercayaan penuh kepada pemain muda tempatan skuad kendaliannya bagi melunaskan tanggungjawab bersama Selangor FC.
“Untuk pemain tempatan kita sudah cukup, saya yakin pemain muda tempatan mampu menggalas tugas tersebut,” jelasnya.