KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyatakan dia mahu membentuk lebih banyak bakat-bakat baharu tempatan dalam skuadnya sejak mengambil alih tugas pengendali The Red Giants pada September 2022.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu ketika ditemui selepas kemenangan Selangor ke atas Kelantan 3-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu turut memuji barisan pemain yang berjaya mencatatkan kemenangan hatrik dalam Liga Super.

Walau bagaimanapun, Cheng Hoe tetap tidak mahu dilambung pujian dengan menegaskan musim masih panjang dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki jika ingin terus memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim.

Tan Cheng Hoe

“Salah satu sasaran saya ketika menjadi ketua jurulatih adalah untuk membangunkan lebih ramai pemain muda tempatan. Saya percaya jika pemain diberikan peluang untuk beraksi, mereka akan bekerja keras dan memberikan persembahan yang baik kerana mereka adalah masa depan untuk kelab ini.

“Ini adalah cabaran buat saya kerana sebagai jurulatih saya telah ditugaskan dengan satu tanggungjawab yang besar dan perlu menghasilkan keputusan yang baik untuk kita berada di kedudukan teratas liga.

“Tahniah kepada para pemain kerana menang tiga perlawanan berturut-turut namun perjalanan masih panjang dan banyak perlu diperbaiki terutama pergerakan bola dan menyudahkan peluang kerana kami tidak tajam pada babak pertama.

Rauf Salifu menjaringkan dua gol untuk Selangor FC

“Namun apa yang positif adalah pemain yang masuk sebagai pemain gantian memberikan impak terbaik pada pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ayron Del Valle meletakkan Selangor di hadapan pada babak pertama sebelum dua gol menerusi pemain gantian, Rauf Salifu ketika permainan berbaki 10 minit cukup untuk memberikan tiga mata buat Selangor untuk naik ke tangga kedua liga.