SELANGOR FC amat memerlukan perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan dari Liga M3, minggu ini sebagai medan menguji pemain import yang baru tiba, sebelum sepak mula Liga Super kira-kira seminggu lagi.

Pengendali Gergasi Merah Tan Cheng Hoe berkata, selepas mengaharungi empat perlawanan pramusim, persefahaman antara pemain bertambah baik.

“Selain itu, prestasi pemain turut meningkat namun kita tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada pemain kerana masih dalam pra musim. Apa saya boleh harapkan agar pemain dapat mengadaptasi saingan liga yang agak panjang tahun ini,” kata Cheng Hoe, yang ditemui pada Majlis “Jom Jumpa First Team Selangor FC 2023, di Tropicana Gardens Mall, Damansara pada Sabtu.

Peminat setia Selangor mengambil peluang bersama ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Menurut beliau, pasukan itu sudah melengkapkan perpindahan pemain baharu musim ini, dengan kemasukan tiga pemain tempatan dan tiga import.

Selain mengharapkan kehadiran Faisal Halim, Ahmad Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran memberi impak yang berkesan, Cheng Hoe tidak menyembunyikan harapan besar agar tiga pemain import baharu Noor Rawabdeh dari Jordan, Yohandry Orozco (Venezuela) dan Ayron del Valle (Colombia) menjadi tonggak menjadikan Selangor sebagai pasukan digeruni.

Ditanya mengenai di manakah kedudukan Selangor berbanding pasukan lain musim baru ini, Cheng Hoe enggan terlalu yakin dengan mengatakan baha semua pasukan melakukan persiapan yang baik kali ini.

Dua awang import muda Selangor, Rauf Salifu, 20, dan Alex Agyarkwa, 22, dari Ghana, mengambil peluang bermain permainan video menentang peminat Gergasi Merah di Tropicana Garden Mall, Damansara.

“JDT memiliki standard tersendiri, Terengganu, Pahang, Sabah, Kedah dan juga pasukan lain melakukan persiapan yang sangat baik dan kita juga tahu, saingan Liga Super musim ini lebih kompetitif berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Apa yang penting Selangor nak bersaing di kelompok teratas liga dengan sasaran utama melayakkan diri ke saingan Piala AFC,” katanya.

Berdasarkan kemasukan pemain seperti Faisal Halim, Rawabdeh, del Valle dan Orozco, Cheng Hoe berharap kelemahan pasukan iaitu bahagian di serangan pada musim lalu, dapat diatasi.

“Mungkin terlalu awal untuk kita lihat kemampuan jentera serangan, apatah lagi dengan Ayron dan Orozco baru tiba, mereka memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian,” katanya lagi.