“MESTI kena tahan (sabar) sampai Sukan Sea 2027 di Malaysia, boleh… saya boleh tahan.”
Begitulah jawapan daripada anak gadis cantik molek berasal dari Cheng, Melaka, Tan Cheong Min apabila diusik bilakah akan menamatkan zaman bujangnya.
Bakal mencecah usia 26 tahun Ogos depan, semangat mengharumkan nama negara masih kuat membakar dalam dirinya, yang mula terdedah kepada sukan wushu pada usia sembilan tahun.
“Sukan Sea 2017 saya tak dapat beraksi, jadi tahun ini mesti saya menahan diri (daripada perkara lain), sebab kita menjadi tuan rumah kan, saya nak juara di tempat sendiri,” kata Cheong Min.
Pada Temasya 2017 di Kuala Lumpur, keputusan mengejutkan daripada Persekutuan Wushu Malaysia apabila menggugurkan nama Cheong Min dan beberapa atlet lain yang mempamerkan aksi cemerlang pada 2016.
Ketika itu, Cheong Min berada di puncak prestasi menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Bulgaria (2016), malah memenangi gangsa Nangun dan emas Dullian pada Kejohanan Dunia di Kazan 2017.
Dalam pada itu, sempena Tahun Baru Cina kali ini, Cheong Min memberitahu bahawa keluarganya menyambut secara sederhana berikutan baru kehilangan datuk.
“Tahun Baru Cina tahun ini… saya mahu ambil peluang berkumpul bersama keluarga kerana tahun lalu tak berkesempatan.
“Saya sibuk dengan belajar dan latihan, kebanyakan masa memang di KL (Kuala Lumpur).
“Disebabkan datuk baru meninggal dunia, kami merancang pergi bercuti, one day trip to Ipoh,” ujar Cheong Min lagi.
Menurutnya, meskipun tidak banyak kejohanan besar tahun ini, dia menyasarkan untuk melakukan persiapan terbaik menghadapi Kejohanan Wushu Asia yang akan berlangsung pada September, di Macau.
“Tahun ini ada dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Asia dan Piala Dunia (Taolu). Tapi Piala Dunia saya tidak layak kerana aksi saya tahun lalu tidak baik apabila mengalami demam ketika tiba di Amserika Syarikat.
“Hanya lapan terbaik pada Piala Dunia tahun lalu, layak beraksi di Piala Dunia kali ini.”
Menurutnya, Kejohanan Wushu Asia menjadi keutamaannya kerana belum pernah beraksi di kejohanan terbabit yang kali terakhir dianjurkan pada 2016, ketika dia masih bergelar atlet remaja.
“Kejohanan Asia ini akan jadi yang pertama buat saya, tapi kita tak tahu sama ada saya akan terpilih mewakili negara atau tidak.
“Apapun, saya akan fokus kepada latihan sambil memastikan pemulihan kecederaan saya ini berjalan lancar.
“Segala kejayaan yang saya capai tahun lalu, sebaik turun dari pentas menerima hadiah, semua menjadi kosong semula, bermula dengan fasa yang baharu,” kata Cheong Min.
Cheong Min meraih dua pingat emas di Sukan Sea Kemboja tahun lalu, menerusi acara Nanquan dan Nandao+Nangun.
Dia kemudian meraih pingat perak acara Nanquan+Nandao di Sukan Asia Hangzhou, sebelum merangkul pingat emas acara Nanquan+Nandao di Sukan Kombat Dunia di Riyadh, Arab Saudi.