BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terus mengibar cabaran di Terbuka Indonesia apabila melakar kejutan ke atas pemain nombor lapan dunia dari Korea Selatan, di suku akhir pada Jumaat.

Kejayaan gandingan itu menyingkir Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-8, 21-19 itu membolehkan mereka kembali mengecapi keseronokan melangkah ke separuh akhir pada kejohanan bertaraf Super 1,000, yang kali terakhir mereka lakukan pada Terbuka China, September tahun lalu.

“Sebelum perlawanan suku akhir hari ini, memang kami tahu peluang 50-50 tetapi saya tidak mahu peluang yang ada ini terlepas begitu sahaja dan kami betul-betul fokus dan berjaya,” kata Pei Jing kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka Indonesia yang berlangsung di Istora Senayan.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengetepikan fokus terhadap Olimpik Paris, sebaliknya sekadar memburu kemenangan demi kemenangan.

Kemenangan itu membolehkan Kian Meng-Pei Jing melebarkan rekod pertemuan kepada 3-2, ke atas gandingan Korea terbabit.

Pada aksi separuh akhir esok, mereka akan berdepan cabaran getir menentang gandingan nombor 5 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Zhen Bang-Ya Xin menewaskan rakan senegaranya yang juga pasangan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-17, 11-21, 21-16.

Berdasarkan rekod pertemuan, Kian Meng-Pei Jing belum pernah menang dalam dua perlawanan antara kedua-dua beregu itu.

Pearly Tan-M Thinaah tidak mampu menyaingi lawan dari China.

Lee Zii Jia gagal menyaingi kehebatan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Kejutan dari Leong Jun Hao di Terbuka Indonesia berakhir selepas tunduk kepada pemain China, Li Shi Feng.

Sementara itu, wakil olimpik negara dalam beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 20-22, 18-21.

Turut tersingkir dua wakil perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Zii Jia tewas kepada bekas juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 16-21, 17-21, manakala Jun Hao kalah kepada pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng, 11-21, 12-21.