PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah meluluskan cadangan tentang penggunaan aplikasi sains sukan menerusi sistem ‘dashboard baharu’ yang akan digunakan bagi meningkatkan strategi teknikal dan prestasi pemain.

Cadangan tersebut diusulkan Pengarah Berprestasi Tinggi BAM, Dr. Tim Jones selepas membuat penelitian gerak kerja terbaik demi masa hadapan badminton negara.

“Kita telah luluskan penggunaan metodologi sains sukan dalam latihan harian untuk meningkatkan sukan berprestasi tertinggi dalam Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM).

 

“Kawasan yang perlu dilihat adalah pelan prestasi, pengurusan data bersepadu, reviu pengawasan dan menambah optimum praktis kejurulatihan sains sukan, menguatkuasakan budaya dan persekitaran untuk menguatkan karakter pemain.

“Kita telah luluskan sistem yang telah diusulkan Pengarah Berprestasi Tinggi, Dr. Tim yang ditunjukkan kepada mesyuarat pagi tadi.

“Dr. Tim akan melakukan evaluasi terhadap sistem yang diusulkan sebentar tadi dalam mesyuarat adalah seperti dashboard yang mampu melihat semua sudut tentang conditioning, teknikal, prestasi semua pemain ini.

“Kita sudah luluskan bajet lebih kurang USD 20.000 setahun dan ianya telah diluluskan untuk memantapkan lagi dari segi teknikal, data, analisis prestasi,” ujar Tan Sri Norza semasa sidang media yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann sedang dalam perangkaan bagi menentukan pemain perseorangan kedua dan ketiga selepas Ng Tze Yong.

Bagaimanapun, Choong Hann menyifatkan keputusan tersebut perlu dibuat dengan teliti kerana perlu melihat dan mengkaji kemampuan pemain sebelum memuktamadkan pemain perseorangan kedua dan ketiga kebangsaan yang berada di bawah naungan BAM.

Jelasnya, tempoh enam bulan disifatkan suatu tempoh yang realistik bagi mengenalpasti calon terbaik untuk mengisi dua slot terbaik selepas Ng Tze Yong.

“Kita sedang melihat pemain yang lebih menonjol dengan lebih teliti dan terperinci. Bukan hanya tumpukan satu dua orang sahaja, tetapi lebih kepada keseluruhan pemain termasuk Aidil Sholeh, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan beberapa pemain muda seperti Shaqeem diharapkan dapat menjadi pemain yang semakin baik dan membawa diri menjadi pemain berwibawa dalam perlawanan yang akan kita atur untuk mereka.

“Saya rasa komitmen dan kemahuan yang cukup bersungguh-sungguh harus ada kepada pemain kerana latihan harian kadangkala menyebabkan pemain bosan, dan pemain harus bersedia dari segi mental untuk melalui proses ini.

“Rasanya, penyeksaan kepada pemain telah cukup sengit. Kalau teruskan ditakuti risiko kecederaan lebih tinggi. Jadi kita harus ada aspek sains sukan yang sihat. Kita akan menilai untuk melakukan satu program yang seimbang dan sihat dalam jangka masa yang cepat,” jelasnya.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengagihkan insentif wang tunai keseluruhan berjumlah RM140,000 kepada para pemain yang berjaya meraih pingat di Sukan SEA 2021 di Hanoi dan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham baru-baru ini.