“SAYA sudah tengok statement tu (hantaran Hannah Yeoh)… saya rasa YB mahu saya pegang (Presiden BAM) sampai Paris 2024.”
Demikian respon segera Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, apabila diminta mengulas mengenai rayuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di aplikasi ‘X’ yang mahukannya kekal menerajui BAM.
Memberi bayangan bersedia mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan BAM pada hujung tahun ini, Norza yang dihubungi memberitahu tempoh sebenar jawatannya itu berakhir 2025.
“Tempoh jawatan saya yagn sebenarnya sampai 2025. Jadi saya akan pertimbangkan cadangan itu (Hannah) kerana saya hormat beliau sebagai menteri dan kita mempunyai kerjasama baik dengan beliau,” kata Norza ketika dihubungi.
Sebelum ini, Norza pernah menyatakan peletakan jawatannya sebagai Presiden BAM tidak akan menjejaskan peranannya dalam program Road to Gold (RTG) iaitu pengerusi bersama dengan Hannah, malah beliau masih kekal sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, iaitu calon dibawa Norza sendiri bagi meneruskan kepimpinan BAM bermula Januari tahun hadapan, Norza berkata, dia akan memberi komen lanjut Sabtu ini.
“BAM ada mesyuarat Majlis Sabtu ini, saya akan beri komen lagi pada masa itu,” kata Norza.
Hannah pagi tadi memuatnaik hantaran di aplikasi ‘X’ yang mahu Norza memikirkan semula keputusan daripada melepaskan jawatan dalam BAM pada hujung bulan ini.
Hannah turut memaklumkan yang program RTG direka bagi memastikan kesinambungan program atlet tidak terganggu meskipun berlaku perubahan kepimpinan dalam Kementerian KBS ataupun MOM apabila mempunyai dua pengerusi bersama.