NEGARA memerlukan pemain badminton yang mempunyai mentaliti juara, terutamanya dalam merealisasikan hasrat meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Justeru, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain badminton negara perlu menanamkan mentaliti juara dalam diri mereka.

Rexy berkata, kebanyakan pemain kerap memberi alasan mahu memperbaiki ranking semasa dan selepas mencapai sasaran, mereka kembali relax pada kejohanan seterusnya biarpun belum meraih sebarang gelaran.

Katanya, pendekatan sedemikian tidak boleh ada dalam diri pemain.

Rexy menegaskan setiap pemain memikul tanggungjawab untuk muncul juara setiap kali memnyertai kejohanan.

“Berdasarkan pengalaman (ketika pemain), saya fikir saya tak nak kalah di pusingan pertama atau kedua. Sekiranya lawan nanti adalah Park Joo Bong-Kim Moon Soo, saya letak dalam diri yang saya mahu jadi juara.

“Itu yang saya mahu lihat. Apabila kamu jadi juara, tidak lagi berada dalam ranking 32, mungkin dalam kelompok 10 terbaik. Tapi bila tanya (kepada pemain), mungkin kata ‘saya nak berada dalam kelompok 32 terbaik’.

“Ini bermakna apabila sudah sampai 32, jadi selepas itu apa lagi?. Hanya nak nikmati main (siri) 500 dengan ranking 32 terbaik? Bukan begitu sebenarnya. Jadi apabila ada kejohanan, kamu letakkan satu mentaliti, ‘OK saya mahu juara’.

Rexy Mainaky tidak mahu pemain berpuas hati dengan hanya satu gelaran.

“Walaupun ada orang akan kata tak realistik atau apa… itu saya tak kisah. Saya lebih suka pemain berfikiran sebegitu daripada hanya nak perbaiki ranking. Sebab itulah pemain apabila pergi ke kejohanan… gagal kerana mereka hanya berfikiran untuk tingkatkan ranking,” kata Rexy.

Dalam pada itu, Rexy turut mengharapkan jurulatih dapat memainkan peranan untuk ‘brainwash‘ pemain bagi meningkatan mutu permainan dan corak pemikiran mereka.

“(Contoh) Haikal (Nazri)-(Choong) Hon Jian. Haikal tak gembira dengan saya katakan walaupun mereka sebenarnya berada di separuh akhir dan final. Saya tak gembira dengan keputusan diraih mereka.

“Saya tak gembira dengan cara permainan mereka kerana seperti bermain di ‘level’ 100 dan 300 dan kamu tak persiapkan diri untuk bermain di 500. Cara kamu bermain, kamu capai apa yang kamu inginkan tetapi cara kamu bermain, saya tak gembira.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri telah membuktikan kata-kata Rexy Mainaky apabila meraih dua gelaran berturut-turut di India.

“Sebenarnya mereka tak setuju tetapi saya katakan ‘kamu fikir dulu dan datang semula bercakap dengan saya sekiranya mahu terus bermain dan kalau tidak, hanya teruskan dengan komitmen kamu’.

“Mereka datang… kita ubah dan selepas itu menang kejohanan secara berturut-turut. Dalam kejohanan itu, mereka tewaskan lawan lebih kuat. Jadi itu bermakna sesuatu lebih baik. Dengan sedikit perubahan, mereka masuk gelanggang dan bersiap sedia untuk (bermain seperti beraksi di kejohanan bersiri) 500,” katanya.