TIDAK ada masa untuk berseronok dan bersenang-lenang memandangkan tempoh yang ada bagi mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 semakin singkat.

Biarpun sudah layak ke Temasya Paris, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka tidak boleh selesa kerana persaingan belum lagi bermula.

Menurut Tang Jie, dia dan gandingannya lebih fokus dalam latihan bagi menghadapi persaingan dalam temasya sukan terbesar yang pertama buat mereka.

“Kami sudah layak ke Olimpik tetapi belum jadi juara Olimpik lagi. Jadi, kami tidak boleh relaks,” kata Tang Jie, yang kini berada di ranking kesembilan dunia.

Chen Tang Jie belum bersemangat menjalani latihan, mahu melakar kejayaan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Untuk rekod, naib juara Masters Thailand dan Terbuka Switzerland itu menjadi wakil tunggal negara dalam beregu campuran, berjaya ke Paris.

Gandingan terbabit dijadual menyertai Masters Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tanpa penyertaan beberapa pasangan utama dunia, Tang Jie-Ee Wei akan tampil pada kejohanan itu sebagai pilihan kedua di belakang gandingan Thailand, Dechapol Puvaranukroh-Sapsiree Taerattnachai.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu memperbaiki prestasi jika berhasrat menaiki podium di Sukan Olimpik Paris.

Tang Jie berkata, mereka hanya fokus kepada latihan tanpa memikirkan sasaran di Masters Malaysia itu.

“Setiap kejohanan adalah penting untuk kami tetapi kami mahu fokus kepada latihan dahulu. Apabila menghampiri kejohanan nanti baru kami akan fikirkannya,” katanya.

Pada edisi tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Masters Malaysia dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.