KEMARAAN ke final Jelajah Dunia Terbuka Korea, menjadi pencapaian terbaik buat beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kali pertama melepasi pusingan separuh akhir di kejohanan bertaraf Super 500 ke atas.
Menurut Tang jie, selepas berakhir Sukan Olimpik Paris, dia dan Ee Wei berdepan detik sukar untuk bangkit kerana terlalu mahukan pencapaian terbaik di Olimpik.
“Selepas Olimpik sukar untuk kami bangkit, jadi kami reset.
“Bagi kami, mara ke final ini satu pencapaian baru yang dicapai kerana tidak pernah ke final kejohanan lebih tinggi daripada Super 300,” kata Tang Jie, kepada SPO TV.
Pada aksi separuh akhir Terbuka Korea , Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Tertutup Mokpo, apabila mengenepikan beregu China yang berada di ranking ke-31 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh 50 minit sekali gus mengubati kekecewaan terkandas di suku akhir Terbuka Jepun, minggu lalu.
Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking kesembilan dunia, dijadual menentang satu lagi beregu China, Guo Xin Wa-Li Qian yang menewaskan pilihan ketiga tuan rumah, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-14, 24-22, 21-10 di separuh akhir.
Pentas final esok (Ahad) adalah pertemuan sulung buat Tang Jie-Ee Wei bersama beregu China di ranking ke-241 dunia itu.
Biar pun di atas kertas, Tang Jie-Ee Wei dilihat berpotensi untuk menjuarai kejohanan berstatus Super 500 itu, namun keupayaan beregu China itu tidak seharusnya diperkecilkan apatah lagi selepas gandingan awal lawan, dipisahkan sejak Mac lalu.
Masters China yang berstatus Super 100 adalah gandingan terakhir Xin Wa-Qian sebelum dipisahkan pada Mac lalu dan pada kejohanan berkenaan, mereka berjaya meraih gelaran naib juara.
Selepas itu, Xin Wa digandingkan bersama Chen Fang Hui bermula di Terbuka Thailand yang menyaksikan mereka muncul juara dan naib juara di Terbuka Australia, Jun lalu.
“Kami tidak dapat menonton perlawanan pasangan China itu, kerana sedang bersiap untuk turun ke gelanggang.
“Jadi saya akan berbincang dengan pasangan dan jurulatih selepas ini untuk mempersiapkan diri ke perlawanan akhir,” ujar Tang Jie.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei di kejohanan bertaraf lebih tinggi dari Super 300, adalah mara ke separuh akhir Terbuka Sing apura 2023 (Super750), separuh akhir Terbuka China 2023 (Super 1000), separuh akhir Terbuka Arctic 2023 (Super 500), dan separuh akhir Masters Malaysia 2024 (Super 500).