QUARTER finalis Olimpik Paris, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei amat lega dapat mengatasi rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada saingan suku akhir Jelajah Dunia Terbuka Korea, sekali gus merapatkan jurang pertemuan sebelum ini.

Menurut Tang Jie, sekurang-kurangnya mereka mempamerkan peningkatan selepas tiga kali tewas kepada lawannya sebelum ini.

“Pasangan saya menjadi hari ini, dan kami gembira dapat pecahkan permainan lawan.

“Sebelum ini kami kalah dua atau tiga kali, jadi kemenangan ini amat penting,” kata Tang Jie kepada SPO TV.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpeluang menebus kehampaan di Olimpik Paris baru-baru ini.

Sementara Ee Wei pula menyifatkan, kedua-dua pasangan saling mengenali corak permainan masing-masing.

“Saya dan Tang Jie sebelum ini berlatih bersama mereka setiap hari jadi kami kenal satu sama lain dan hari ini, siapa dapat perform lebih baik, dialah pemenang,” kata Ee Wei.

Pada aksi suku akhir itu, Tang Jie-Ee Wei memenangi perlawanan dengan keputusan  21-18, 21-11 dalam tempoh 34 minit.

Mengulas mengenai lawan mereka di separuh akhir esok, Ee Wei berkata, mereka akan berbincang dengan jurulatih mengenai corak permainan dan strategi yang sesuai.

Di separuh akhir, pasangan negara itu akan berdepan wakil China, Cheng Xing-Zhang Chi yang menang straight set ke atas pasangan Chinese Taipei, Ye Hong Wei-Nicole Chan, 21-9, 21-19.