CORAK permainan lebih agresif menjadi faktor kemajuan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang muncul juara Cabaran Antarabangsa Iran, di Tehran pada Ahad.

Tang Jie-Ee Wei meraih gelaran pertama musim ini selepas menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menerusi kemenangan 21-19, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Persatuan Badminton Iran.

Ee Wei, 22, berkata, dia dan Tang Jie yang kini berada di kedudukan ranking ke-56 dunia gembira dengan kehadiran Nova Widianto yang memulakan tugasnya awal bulan lalu, apabila berjaya mengubah corak permainan mereka menjadi lebih baik.

“Kami gembira di bawah bimbingan Nova, dia datang dan permainan kami berubah menjadi lebih agresif. Kami gembira dengan perkembangan prestasi kami.

“Kami akan terus bekerja keras di bawah bimbingan Nova dan diharapkan kami dapat menghasilkan keputusan yang baik pada kejohanan akan datang,” kata Ee Wei yang turut merangkul gelaran juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh bersama Tang Jie tahun lalu.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bermain lebih agresif selepas sebulan dilatih Nova Widianto.

Ee Wei berkata, kejuaraan di Iran menjadi penyuntik semangat buat dia dan Tang Jie yang akan menggalas cabaran skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari.

“Walaupun ia bukan kejohanan besar, tetapi ia adalah kemenangan yang positif untuk saya dan Tang Jie. Kami harap boleh kekalkan momentum untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti,” kata Ee Wei.

Gandingan ini juga mempamerkan prestasi memberangsangkan di Terbuka Malaysia pertengahan bulan lalu apabila mara ke suku akhir kejohanan berstatus Super1,000 itu.

Sebelum aksi Terbuka Malaysia, Tang Jie-Ee Wei menduduki ranking ke-147 dunia, melonjak ke tangga 75 dan kini menghuni ranking ke-56 dunia selepas kejayaan mara ke pusingan kedua Terbuka India.

Kemenangan di Iran ini dijangka menaikkan lagi ranking mereka dalam data yang akan dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) esok.

Sementara oti, Nova berkata, dia amat gembira dengan pencapaian dua beregu campuran negara yang membuat perhitungan di final Cabaran Antarabangsa Iran.

“Walaupun hanya kejohanan kecil di Iran, saya tetap gembira kerana mereka berjaya meraih mata maksima,” kata Nova.