BAHANG kehangatan persaingan Sukan Olimpik 2024 kian terasa, persiapan juga telah dilakukan sebaiknya, namun bagi pemain badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mereka tidak dapat menggambarkan apa yang akan berlaku di temasya itu nanti.

Sebagaimana jurulatih beregu campuran, Nova Widianto kongsikan semalam, bahawa gandingan negara itu memberikan komitmen tinggi dalam latihan dan berpotensi mencabar pingat di Paris, hanya Nova dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu membantu mereka menggambarkan apa yang perlu dilakukan sebaik menjejak kaki ke perkampungan sukan.

Chen Tang Jie mengakui, dia tidak dapat membayangkan persiapan bagaimana yang lebih baik untuk hadapi Sukan Olimpik, dan hanya bergantung kepada program disediakan jurulatih, Nova Widianto dan perkongsian pengalaman Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang lebih baik untuk dilakukan sebagai persiapan ke Olimpik kerana kami tidak pernah berada di tahap itu.

“Kami hanya bertanya kepada jurulatih selain Aaron dan Wooi Yik.  Tetapi bagi Aaron dan Wooi Yik sendiri, Olimpik terakhir (Tokyo) berbeza kerana berlaku dalam pandemik (Covid19). Untuk mereka Temasya Paris juga satu perasaan baharu,” kata Tang Jie, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Begitupun, sehingga detik ini, pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia itu mengakui, sudah melalui persiapan terbaik, di gelanggang, fizikal mahupun persiapan mental.

Meskipun belum meraih sebarang gelaran tahun ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tetap membara dan dahagakan kejuaraan sebagaimana tahun lalu.

“Sampai ke tahap ini, saya boleh katakan yang saya sentiasa bersedia, saya mengikuti latihan, fokus dan tidak pernah berputus asa.

“Tetapi apa yang dicapai ketika ini, kami belum puas dan mempunyai sasaran peribadi, tetapi masih individu yang sama seperti dahulu, yang mahukan kemenangan,” ujar Tang Jie, yang digandingkan bersama Ee Wei pada Disember 2022.

Sejak itu, mereka sudah merangkul dua gelaran Jelajah Dunia, iaitu Terbuka Taiwan dan Masters Orleans pada tahun lalu.

Keserasian ditunjukkan membolehkan mereka layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir biarpun hanya setahun digandingkan.

Kini pada tahun pertama layak ke Temasya Olimpik, Tang Jie-Ee Wei menjadi antara sandaran negara, membawa pingat emas pertama buat Malaysia.