KEJAYAAN meraih gelaran pertama tahun ini di Terbuka Korea pada Ahad, tidak datang dengan mudah, namun semangat sambutan kemerdekaan negara ke-67 memandu kepada kebangkitan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Bermula goyah dengan banyak melakukan kesilapan, Ee Wei tetap berasakan kemampuan dia dan pasangannya bangkit memenangi perlawanan suatu yang menakjubkan.
“Kami melakukannya dengan baik walaupun tewas set pertama, kami tidak berputus asa.
“Jurulatih banyak membantu menaikkan semangat kami dan ini hadiah untuk Malaysia dan hari kemerdekaan,” kata Ee Wei, kepada SPO TV.
Biarpun meraih kejuaraan dan memenangi hadiah wang tunai RM142,953, Tang Jie mengakui banyak lagi perlu diperbaiki.
“Melihatkan perlawanan akhir ini, banyak lagi peningkatan perlu kdilakukan terutamanya apa yang berlaku dalam set pertama.
“Terlalu banyak kesilapan, ya kami menang tetapi perlu diperbaiki,” ujar Tang Jie.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei mengotakan janji untuk menghadiahkan sesuatu untuk sambutan hari kemerdekaan negara apabila melakar gelaran sulung tahun 2024 di Jelajah Dunia Super 500, Terbuka Korea.
Mendapat tentangan sengit daripada beregu China, Guo Xin Wa-Li Qian yang menghuni tangga ke-241 dunia, Tang Jie-Ee Wei yang tunduk 17-21 di set pertama, bangkit memenangi perlawanan 21-13, 21-13.
Terdahulu, dalam set pertama, Xin Wa-Qian yang kembali digandingkan bersama selepas Mac lalu, mempamerkan aksi cukup bertenaga, meninggalkan jauh Tang Jie-Ee Wei sebelum melakar kemenangan 21-17.
Tersentak dengan kekalahan itu, Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking kesembilan dunia terus mempamerkan kebangkitan seawal set kedua dengan mendahului perlawanan sebelum Xin Wa-Qian kembali mengejar kedudukan.
Beregu negara berjaya mengekalkan fokus mereka dan terus mengutip mata dengan satu ketika berada 10 mata di hadapan sebelum memenangi set kedua, 21-13.
Kemenangan itu mengheret perlawanan ke set penentuan dengan Tang Jie-Ee Wei yang kali terakhir melakar kejuaraan di Terbuka Taiwan tahun lalu dilihat seakan sudah menemui corak permainan sebenar mereka.
Tang Jie-Ee Wei mendahului set penentuan biarpun Xin Wa-Qian terus mencuba mencari kelemahan beregu negara sehingga ke pertengahan permainan sebelum bangkit mengasak untuk melakar kemenangan 21-13.
Pentas final ini adalah yang ketiga buat Tang Jie-Ee Wei bagi musim ini selepas meraih dua gelaran naib juara di kejohanan berstatus Super 300 di Terbuka Switzerland pada Mac dan Masters Thailand (Februari).