SEMBILAN Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dikesan masih belum membuka akaun bank khas, dimana ia bertujuan untuk mempermudah saluran dana kepada persatuan berkenaan.
Ketika ini, sistem baharu tersebut telah diterapkan kepada 19 PSK, dengan 10 persatuan sudahpun membuka akaun khas, yang mana ia membantu mempercepatkan proses saluran dana tanpa perlu persatuan mendahulukan wang mereka sendiri.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang ditemui pada Majlis Penutup Kejohanan Taekwondo Antara Kelab Taekwondo Malaysia bagai terpinga-pinga dengan tindakan beberapa persatuan yang masih belum membuka akaun itu.
Menurut Hannah, dengan sistem baru yang diperkenalkan, PSK hanya perlu membuka akaun khas, dan pihak kementerian akan terus menyalurkan dana pendahuluan mengikut permintaan.
Namun, persatuan perlu mengemukakan laporan perbelanjaan dana berkenaan, yang kemudiannya akan diaudit oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Meskipun sudah ada 10 persatuan membuka akaun khas ini, sembilan PSK yang lain dalam kumpulan fasa awal ini masih belum berbuat demikian, menyebabkan Hannah tertanya-tanya akan tindakan mereka walaupun sistem ini lebih memudahkan urusan dana.
“Kalau 10 persatuan boleh buka akaun, saya tak faham kenapa sembilan lagi tak boleh. Tanggungjawab persatuan adalah membantu atlet, dan kini kerajaan sedia membantu dari segi kewangan.
“Takkanlah tugas asas seperti buka akaun pun tak dapat dilakukan? Pembaharuan ini sebenarnya memudahkan, bukan menyusahkan.
“Sebab itu kita cuba melaksanakan pembaharuan yang memudahkan semua pihak. Saya benar-benar tak faham kenapa tak boleh buka akaun. Ia satu perkara asas,” kata Hannah pada sesi sidang media di Stadium Titiwangsa, petang Ahad.
Sebelum ini, FLASH SUKAN ada melaporkan mengenai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperkenalkan kembali kaedah ‘empowerment’ kepada PSK untuk meningkatkan pengurusan kewangan dan tadbir urus dana yang diterima mereka.
Program ini dijadualkan menyalurkan dana kepada PSK setiap empat bulan, meliputi perbelanjaan bagi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan, serta perkhidmatan sokongan.