KOMENTAR

Oleh MOHD FARIQ

MENJELANG perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 Harimau Malaya bertemu India pada 13 Oktober depan, ramai masih tertanya-tanya mengenai status sebenar gelanggang pasukan kebangsaan, Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Umum mengetahui Stadium Nasional telah ditutup sejak beberapa bulan lalu kerana mahu diberikan laluan untuk memperbaiki venue tersebut supaya dipertingkatkan kepada tahap lebih optimum.

Justeru, proses baikpulih fasiliti khususnya padang sedang berjalan dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mencemar duli memantau keadaan padang tersebut selaras perancangan menanam rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ bagi menggantikan rumput jenis ‘Cow Grass’ di stadium berkenaan.

Kini, masa genting buat pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang diketuai pengerusinya, Datuk Gerald Hans Isaac untuk memastikan Stadium Nasional berada di dalam kondisi terbaik untuk Pestabola Merdeka.

Setiap saat PSM sudah mula menumpukan setiap aspek dalam memastikan setiap fasiliti dalam keadaan paling terbaik terutama kondisi padang kerana Stadium Nasional akan menjadi tumpuan lensa netizen pada bulan ini.

Dikhabarkan pula jurulatih Harimau Malaya, Kim Pa-gon dikatakan untuk menggunakan padang Stadium Nasional bagi tujuan latihan dan uji padang dengan lebih awal bagi memastikan anak-anak buahnya selesa sebelum menerima kunjungan India nanti.

Justeru, PSM harus menggunakan segala ‘magis’ bagi memastikan Stadium Nasional sudah siap siaga untuk digunakan menjelang aksi Pestabola Merdeka 2023.

Bagaimanapun, penulis masih optimis bahawa PSM memiliki keupayaan untuk memastikan gelanggang keramat Harimau Malaya telah bersedia untuk beraksi bermula minggu depan.

Penulis sendiri dapat melihat setiap kerja-kerja dilakukan sedang giat dijalankan dari masa ke semasa sekali gus menunjukkan betapa komited PSM dalam memastikan Pestabola Merdeka 2023 berada dalam keadaan paling terbaik.

Biarpun PSM sedang berperang dengan masa, penulis menaruh harapan bahawa perbadanan stadium itu telah memiliki formula terbaik khas untuk Pestabola Merdeka 2023 kerana PSM pasti menyedari inilah momen untuk mereka bersinar.

Tiada siapa pun yang mahu melihat pasukan kebangsaan bermain di padang yang kurang memuaskan termasuk beberapa isu keselamatan yang membabitkan penonton nanti.

Namun pujian haruskan diberikan kepada PSM yang telah pun membuat beberapa penambahbaikan antaranya membuka besi penghalang di antara penonton bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penyokong sentiasa terjamin.

Malah PSM juga mengambil inisiatif dengan menambah tiga lagi ‘grow light’ bagi memastikan pertumbuhan rumput di Stadium Nasional tidak berdepan sebarang masalah.

Seperti penulis katakan tadi, penulis percaya PSM dengan pelan tersendiri dapat merealisasikan impian penyokong negara iaitu menyediakan pentas terbaik buat Harimau Malaya sempena Pestabola Merdeka 2023 yang turut menemukan pemenang di antara Palestine dan Lebanon pada 17 Ogos depan.